KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal beranak dua menangis dalam kandang
orang salah ketika merayu supaya hukumannya terhadap kesalahan merompak
bersenjata diringankan, di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.
Wanita berasal dari Kuantan itu dihukum penjara enam tahun selepas
mengaku salah atas tuduhan bersama seorang yang masih bebas merompak
dengan bersenjatakan pedang dan pistol ke atas pemilik butik pengantin,
Nor Asuwah Ibrahim, 48.
Kejadian berlaku di sebuah rumah kedai di Kampung Landak, Jalan Padang Tembak pada jam 10.05 malam, 21 Julai tahun lalu.
Pada prosiding itu, Sumiyyah Razali, 23, menangis merayu Hakim, Mohd
Yusoff Yunus supaya meringankan hukuman yang bakal diputuskan dengan
alasan dia mempunyai dua anak yang masih kecil dan sudah bercerai dengan
bekas suami, empat tahun lalu.
“Anak-anak saya sekarang tinggal dengan keluarga. Saya berada bersama
suspek ketika kejadian itu dan saya mohon jasa baik tuan kurangkan
hukuman saya,” katanya sambil sesekali mengesat air mata.
Sumiyyah hadir ke mahkamah berbaju kurung dan bertudung merah jambu. Tiada keluarga kelihatan di mahkamah itu.
Dalam kejadian lalu, tertuduh bersama seorang lagi rakannya masuk ke
dalam butik berkenaan dengan memakai telekung sembahyang dan
berpura-pura melihat busana pengantin.
Sumiyyah mencuba busana itu, manakala rakannya keluar dan masuk semula
bersama seorang lelaki dengan bersenjata pistol serta pedang.
Mereka merompak mangsa dengan melarikan barangan kemas, beg tangan
berjenama dan jubah yang dijual, beg tangan mangsa mengandungi pelbagai
kad berserta wang tunai RM150 juga cermin mata yang keseluruhan barang
rompakan itu bernilai RM20,000.
Hukuman berkuat kuasa dari tarikh dia ditahan pada 9 Ogos 2014. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nordalina Ali.
Pada 9 Mac lalu, rakan tertuduh, Nurul Suhada Jusoh, 27, yang juga ibu
tunggal empat anak turut dihukum penjara enam tahun enam bulan atas
kesalahan sama.
No comments:
Post a Comment