Mahfuz Omar Mahfuz Omar










ALOR SETAR - Pas meminta semua pihak tidak terpedaya dengan tindakan
pihak tertentu yang sengaja memainkan isu keagamaan dan perkauman
kebelakangan ini.



Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, perbuatan seperti
berdemonstrasi di hadapan gereja, Ahad lalu dan terbaru, Alvin Tan
mengeluarkan video mempersendakan suara azan adalah perilaku yang wajar
dibantah semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan persaudaraan.



“Perkara yang membabitkan sensitiviti agama dan kaum tidak sewajarnya
dijadikan bahan ejekan dan momokan kerana ia mengguris perasaan penganut
agama masing-masing. Ia umpama menyimbah minyak ke atas api dan
kesannya pasti besar dan boleh menjejaskan keamanan,” katanya.



Menurutnya, pihak terbabit wajar dikenakan tindakan tegas supaya tidak
mengulangi perbuatan itu namun, amat dikesali apabila individu berkenaan
masih berterusan mempersendakan Islam.



“Pas mohon polis bertindak dengan berani dan telus terhadap kes seperti
itu. Siasatan hendaklah dibuat kepada pelakunya dan dikenakan tindakan
bersesuaian,” katanya.



Mahfuz yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, kemunculan isu-isu
sensitif ini seolah-olah menjadi kebiasaan apabila kerajaan diberi
tekanan dalam isu-isu yang tidak mampu dijawab maka muncul
'mereka-mereka' ini untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu besar
seperti 1MDB dan GST.



“Kita bimbang isu ini didalangi penaja-penaja politik demi
mempertahankan kepimpinan mereka. Kami harap seluruh rakyat Malaysia
tidak terperangkap dengan isu sensitiviti yang sengaja dimainkan pihak
tertentu demi mengalihkan perhatian dan desakan rakyat terhadap isu-isu
semasa,” katanya.