Roketkini.com
GEORGE TOWN – Akhbar lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia sekali
lagi berhadapan tindakan undang-undang berikutan satu laporannya yang
didakwa memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, melalui peguamnya hari ini
mengemukakan notis tuntutan kepada Utusan Malaysia supaya menarik semula
laporan yang mendakwa kononnya tanah wakaf di Pulau Pinang berada di
bawah pengawasannya.
Notis tuntutan tersebut memberi tempoh 24 jam supaya Utusan menarik
balik, meminta maaf dan membayar ganti rugi RM1 juta dalam tempoh tujuh
hari atas fitnah tersebut.
Rencana bertarikh 10 April 2015 itu antara lain menyebut, “Bagi tanah wakaf pula, sekarang diletakkan di bawah pengawasan Ketua Menteri.
“Sebarang cadangan membangunkannya mesti mendapat kelulusan
beliau. Sedangkan pengurusan tanah-tanah wakaf itu sepatutnya diserahkan
kepada majlis agama negeri seperti mana pada era pentadbiran BN.”
Tulisan oleh Zulkifli Jalil, yang turut dinamakan dalam notis
tuntutan tersebut disiarkan pada halaman 9 akhbar terbabit, serta portal
Utusan Online.
Dakwaan terhadap Guan Eng timbul dalam kehangatan kempen pilihanraya
kecil Permatang Pauh itu ditepis Pengerusi Majlis Agama Islam Pulau
Pinang sendiri, Datuk Mohd Salleh Man sambil menegaskan bahawa MAIPP
satu-satunya pemegang amanah tanah wakaf.
Dalam sidang media bersama Ketua Menteri, Salleh Man menjelaskan
bahawa semua cadangan berkenaan tanah wakaf hendaklah diputuskan oleh
MAIPP selepas mendapat cadangan sebuah jawatankuasa yang tidak
dianggotai oleh Ketua Menteri. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment