Thursday, 30 April 2015

Tembak mati bukan penyelesaian

Death row for Australian Myuran Sukumaran and Andrew Chan



Latihan skuad penembak mati di penjara Nusakambangan,
Denpasar,Bali, Indonesia sebelum hukuman dijalankan ke atas lapan
individu pada 28 April lalu (Gambar rappler.com)





Oleh CHARLES SANTIAGO






Kejam dan gasar. Itu kalimah yang paling sesuai bagi menjelaskan
hukuman tembak mati terhadap lapan pengedar dadah di Indonesia semalam.




Presiden baru Indonesia, Joko Widodo tanpa banyak fikir menolak
rayuan pengampunan kerana percaya bahawa dadah menghancurkan dan
mengacau-bilaukan negaranya.




Saya percaya kehidupan golongan remaja yang terpengaruh dengan rakan
sebaya telah dimusnahkan dengan dadah. Namun, hukuman mati bukannya
penyelesaian, dan ia tidak pernah dan tidak akan menjadi jalan
penyelesaian.




Sepatutnya hukuman mati memerlukan moratorium, dan Malaysia juga harus tersenarai dalam usaha ini.




Dalam pengadilan ke atas lapan banduan akhir dari Australia, Brazil,
Nigeria dan Indonesia itu, Jokowi tidak mempedulikan dakwaan rasuah
terhadap beberapa hakim dan saksi.




Pihak kerajaan Australia sendiri merayu agar pelaksanaan hukuman
tembak itu ditangguhkan sehingga prosiding dijalankan di bawah Mahkamah
Perlembagaan dan Jawatankuasa Kehakiman selesai sepenuhnya.




Pendengaran awal sedang dibuat di Mahkamah Perlembagaan Australia
dijadualkan pertengahan Mei, pastinya relevan berhubung kes dua warga
Australia tersebut.




Namun pelaksanaan hukuman mati telah dibuat, dan apa akan Jokowi
lakukan jika akhirnya prosiding itu nanti memihak kepada dua warga
Australia dan didapati tidak bersalah?




Ketika Jokowi berkempen untuk menjadi Presiden Indonesia, warganya
memandang tinggi dan menganggap beliau sebagai seorang calon progresif
dan sederhana.




Nampaknya setelah beberapa bulan, dia jatuh merudum. Saya sendiri
berharap sikapnya yang keras menolak pengampunan lapan banduan akhir itu
bukanlah atas dasar mendapatkan kembali sokongan terhadapnya yang
semakin berkurangan, atau kononnya untuk memperlihatkan kepada rakyat
bahawa dia seorang yang tegas..




Hukuman mati oleh skuad menembak adalah keterlaluan. Jika ia
berdasarkan kepentingan survival politik Jokowi, ini adalah suatu hal
yang amat memalukan.




Populariti Jokowi menurun apabila beliau melantik seorang yang
mempunyai kes rasuah sebagai ketua polis, selain penghapusan subsidi
bahan api di negaranya.




Apabila hampir tiga perempat dari rakyat Indonesia menunjukkan
sendiri rasa tidak puas hati terhadap Jokowi, presiden republik itu mula
meletakkan perhatiannya terhadap isu nasional untuk mendapatkan kembali
sokongan.




Ini termasuk tindakan keras terhadap nelayan asing dan keldai dadah.




Sekarang kita hanya dapat berharap agar Jokowi melakukan perkara yang
betul dengan membebaskan Mary Jane Veloso, yang terlepas hukuman tembak
apabila penipu yang menjadikannya keldai dadah menyerah diri kepada
polis.




Mary Jane tidak mengetahui bahawa beg yang diminta untuk dibawa ke
negara itu mempunyai dadah di lapisan dalam beg itu. Dia adalah seorang
mangsa pemerdagangan dan mesti dibebaskan dari apa-apa hukuman.




Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya memahami usaha pembasmian dadah di Indonesia.


Tetapi Jokowi seharusnya melihat strategi baru- seperti mengadakan
operasi besar-besaran di rantau ASEAN untuk memerangi kartel dadah,
pemerdagangan manusia dan jaringan antara negara termasuk membasmi
korupsi dalam pasukan polis bagi menyelesaikan isu ini.




Dan pastilah skuad menembak mati pesalah bukanlah jawapannya. – Roketkini.com




(^) Dr Charles Santiago adalah Ahli Parlimen Klang






No comments:

Post a Comment