SINAR HARIAN
BUTTERWORTH - Pas Permatang Pauh hanya akan menunggu arahan presiden
parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung gerak kerja bahagian itu
untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.
Yang Dipertuanya Omar Hassan berkata, kawasan itu tidak akan mengambil
kira pandangan atau arahan sama ada daripada Pesuruhjaya Pas Pulau
Pinang yang juga Timbalan Presiden parti Mohamad Sabu, ataupun pengarah
pilihan raya Pas untuk PRK berkenaan iaitu Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
"Pas Permatang Pauh hanya akan dengar arahan dan akur kepada tuan guru presiden.
"Kami tak mahu ambil kira pandangan dia (Mujahid) sebab mereka tak
ketemu dengan kami. (Sebelum beri pandangan)...dia kena turun jumpa kami
baru dapat maklumat (tentang sentimen akar umbi)," katanya kepada
pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Pas Permatang Pauh di
Dewan Masjid Seberang Jaya, di sini malam tadi.
Omar juga berkata, Pas Permatang Pauh masih berpegang kepada keputusan
mesyuarat agung bahagian itu 19 April lepas supaya Presiden Parti
Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menarik balik
kenyataannya tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan
hudud.
Omar berkata, sebagai seorang yang beragama Islam, Wan Azizah harus
menyokong undang-undang itu, dan bukannya mengeluarkan kenyataan tidak
bersetuju dengan pelaksanaannya.
"Kami sekali lagi meminta Wan Azizah tarik balik kenyataan tak sokong
hudud dan mohon maaf kepada umat Islam di seluruh negara...sebab
kenyataan itu mengguriskan (hati umat Islam)," katanya.
Pada mesyuarat agung kawasan yang lepas, Pas Permatang Pauh menuntut
PKR menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang
persendirian berkaitan hudud jika mahukan sokongannya pada PRK kali ini.
Mereka turut memberi tempoh sehingga hari penamaan calon, 25 April ini,
atau berdepan dengan risiko tidak mendapat kerjasama sepenuhnya
daripada Pas Permatang Pauh.
Sementara itu, Ketua Penerangan kawasan Jamsari Samad berkata, sukar
bagi mereka untuk bekerjasama dengan PKR sekiranya terus berlaku
percanggahan pendapat tentang hudud, kerana ia akan menyukarkan pihaknya
memberi penerangan kepada pengundi beragama Islam sewaktu tempoh
berkempen.
"Bila kami turun berkempen untuk dia (PKR), sudah tentu kesukaran itu akan berbalik kepada Pas sendiri," katanya.
Ditanya mengenai keputusan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Pulau Pinang
semalam bahawa pergerakan itu sanggup mengetepikan persengketaan
sementara bagi menumpukan kepada PRK kali ini, Omar berkata Pas
Permatang Pauh hanya akan menerima permohonan maaf Dapsy Pulau Pinang
kepada Abdul Hadi.
"Kalau dia hormati presiden, dan turut membuat permohonan maaf, maka kami juga tidak akan ada masalah," katanya.
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan
menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anggota Parlimen
kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya sekali
gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses penamaan calon bagi PRK itu
pada 25 April manakala hari pengundian pada 7 Mei. - Bernama
No comments:
Post a Comment