SINAR HARIAN
ROMPIN - Seorang penjawat awam antara dua suspek ditahan polis
berikutan kes serangan terhadap petugas Bilik Gerakan Pas di sini, awal
pagi semalam.
Kedua-dua suspek itu ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah
Rompin untuk membuat laporan polis mengenai kejadian itu petang semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata suspek yang
berumur 41 dan 46 tahun itu, disah positif ganja selepas saringan ujian
air kencing dilakukan terhadap kedua-dua mereka.
Polis kini sedang mendapatkan perintah mahkamah bagi menahan reman
mereka bagi membantu siasatan, katanya pada sidang media di sini hari
ini.
"Berdasarkan maklumat yang diterima suspek telah membuat huru-hara di
Bilik Gerakan PAS Bandar Rompin yang disusuli dengan pergaduhan kecil.
"Salah seorang daripada suspek merupakan seorang kakitangan awam
manakala seorang lagi bekerja sendiri dan kita akan mendapatkan perintah
mahkamah untuk menahan reman kedua-dua suspek berkenaan mulai hari
ini," katanya.
Sharifuddin berkata motif kejadian dipercayai khayal dan kedua-dua
mereka disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut,
dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya kerana penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata pihak polis juga telah memaklumkan kepada Jabatan
Perkhidmatan Awam mengenai penglibatan anggotanya dalam kejadian itu.
Menyentuh mengenai kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, beliau
berkata pihaknya telah memberi kelonggaran dengan membenarkan
parti-parti politik memohon permit ceramah dengan notis kurang 48 jam.
Justeru, polis telah memberi kelonggaran dengan meluluskan 23
permohonan ceramah malam ini iiatu lapan permohonan oleh UMNO dan dan 15
oleh Pas, katanya.
"Sepatutnya mana-mana parti politik perlu mengemukakan permohonan 48
jam lebih awal untuk mendapatkan permit ceramah namun kita telah memberi
kelonggaran bagi 23 permohonan itu yang dibuat kurang daripada tempoh
sepatutnya," katanya.
Beliau berkata setakat ini sebanyak 54 permit ceramah daripada
kedua-dua parti politik telah mendapat kelulusan iaitu 38 permohonan
oleh PAS, manakala selebihnya UMNO.
Beliau turut mengingatkan parti politik yang bertanding supaya memohon
permit sebelum mengadakan program atau ceramah, kerana ceramah tanpa
permit adalah menyalahi undang-undang.
Mengikut Seksyen 24b(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menjalankan
ceramah tanpa permit boleh dihukum tidak lebih satu tahun penjara atau
denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara
calon BN, Datuk Hasan Arifin dan calon PAS, Nazri Ahmad, bagi mengisi
kekosongan kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr
Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4 April
lepas. - Bernama
No comments:
Post a Comment