BN, PKR janjikan saingan sengit Kempen anti GST menjadi fokus PR dalam PRK Permatang Pauh dan kempen balas mengenai GST oleh BN.










PERMATANG PAUH - Atas kertas undi ada nama empat calon yang menawarkan
diri dalam PRK Permatang Pauh tetapi saingan sengit dilihat lebih
menjurus kepada BN dengan PKR.



PKR menampilkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail - nama
yang sudah dikenali dalam persada politik tanah air dengan menerajui
parti itu sejak ditubuhkan pada 1999.



Sebut sahaja Kak Wan, semua orang kenal dan tahu siapa dirinya.
Mewakili Permatang Pauh hampir tiga penggal di Parlimen dan menggalas
tugas ketua pembangkang sebelum ini.



Setiausaha Umno Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin pula menjadi taruhan BN
dalam saingan kali ini sebagai memenuhi cita rasa anak muda yang
memerlukan lebih banyak suara mereka didengari oleh kerajaan.



Anak tempatan dari Guar Jering ini memikul amanah besar jika terpilih
sebagai YB kelak kerana diberi tanggungjawab membangunkan semula kawasan
itu dengan pelbagai kemudahan infrastruktur dan projek pembangunan.



Calon Bebas, Salleh Isahak, anak tempatan dan lebih memberi fokus
kepada aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan ke arah melahirkan insan
berilmu, berakhlak dan beriman.



Calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shah Othman juga anak tempatan
tetapi masih belum tampil di hadapan orang ramai atau turun padang
berkempen.

Personaliti ini kurang dikenali penduduk tempatan walaupun dikatakan dibesarkan di Permatang Pauh.



Timbul sedikit kontroversi apabila penampilan calon ini yang tidak
disokong oleh PRM negeri di mana mereka menyuarakan sokongan kepada
calon dari PKR.



Lebih 72 jam kempen berjalan, belum nampak siapa yang akan menjadi
'juara' dalam perebutan kali ini kerana masing-masing masih mempunyai
kira-kira 208 jam lagi untuk bertarung dalam kempen dan terus merayu
undi dari lebih 70,000 pengundi berdaftar.



Dilihat kepada gerak kerja jentera pilihan raya parti, kemampuan BN dan
PKR nampak seimbang setakat ini walaupun kehadiran orang ramai belum
boleh menjadi ukuran sebenar calon yang menjadi pilihan mereka.



Dari segi ceramah, banyak isu yang dibangkitkan pemimpin PR agak panas
berbanding BN. Mungkin lebih mudah bercakap dari mencari kesalahan parti
lawan berbanding cadangan bernas untuk menyelesaikannya.



Kadang-kadang bila banyak bercakap, akan nampak kelemahan sendiri.
Contoh dalam isu GST yang menjadi fokus utama PR dalam kempen apabila
menyalahkan kerajaan melaksanakan cukai itu hingga membebankan rakyat.



Pelbagai makna diberi kepada GST - gasak sampai tersungkur, gosok
sampai terlena, godam sehingga terbeliak - semata-mata untuk menunjukkan
rasa geram terhadap langkah terbaharu kerajaan meningkatkan hasil
pendapatan.



Tetapi PKR lupa, pemimpin mereka pernah menyebut mengenai kebaikan GST
dan akan melakukan perkara yang sama jika berjaya mengambil alih
Putrajaya.

Calon kitar semula sering kedengaran apabila berlaku PRK atau pilihan raya umum.



Yang menjadi sasaran ialah BN kerana masih menampilkan calon lama atau
veteran dengan alasan masih dikehendaki rakyat atau calon boleh memang.



Inilah modal dan kempen PR dengan menyatakan BN ketandusan pemimpin
berbanding pakatan pembangkang memberi peluang kepada golongan pelapis
bertanding dalam pilihan raya.



Tetapi kali ini, tempias itu kembali kepada PKR yang dianggap
mengemukakan calon kitar semula apabila menampilkan calon lama yang
sudah meletak jawatan sebelum ini dengan alasan tersendiri.



Sebaliknya BN kali ini memberi peluang kepada muka baharu dan yang
masih muda untuk menjadi wakil di Permatang Pauh dengan harapan mampu
membawa suara anak muda yang penuh dengan idea dan inovasi kreatif bagi
membangunkan kawasan ini yang agak ketinggalan dari arus pembangunan
semasa.



Kini, terserah kepada kebijaksanaan jentera pilihan raya parti
masing-masing merayu pengundi memilih calon mereka kerana persaingan
masih terbuka dengan isu yang agak setara antara BN dan PKR.