SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong
langkah kerajaan negeri Kelantan membawa rang undang-undang persendirian
Akta 355 bagi memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah terhadap
pesalah jenayah negara ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata ia juga merupakan
perjuangan Jakim dan kerajaan sejak sekian lama dalam usaha memastikan
undang-undang syariah dilaksanakan di negara ini.
"Dalam perkembangan mengenai hudud, kita tak mahu orang ramai keliru,
rang undang-undang persendirian yang sedang dibawa oleh Presiden Pas
Haji Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) ke Parlimen sekarang ini adalah
Akta 355 dan bukan Enakmen Jenayah Syariah Negeri yang telah diluluskan
oleh Dun Kelantan.
"Ia bagi menaikkan kadar hukuman pesalah jenayah negara ini ke kadar
lebih tinggi atau maksimum yang dibenarkan oleh syarak. Jika kita tidak
setuju apa yang menjadi perjuangan kita (Jakim) sejak bertahun-tahun
dulu, maka ia tidak akan terjadi," kata Othman dalam ucapan beliau
selepas merasmikan penangguhan Persidangan Pegawai Tadbir Agama Daerah
(PTAD) Peringkat Kebangsaan 2015 di sini hari ini.
Namun Othman berkata perkara itu terpulang kepada Parlimen yang
mempunyai peraturan tersendiri bagi meluluskan usul berkenaan
dibentangkan.
Sementara itu, dalam sidang media, Othman mengulas mengenai kenyataan
Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad yang mencadangkan
agar umat Islam negara ini dikecualikan Cukai Barang dan Perkhidmatan
(GST) kerana telah membayar zakat.
Othman berkata perkara itu akan diteliti namun perlu memberi laluan
kepada cukai itu dilaksanakan dalam tempoh tertentu seperti yang
dikatakan oleh kerajaan.
Persidangan PTAD diadakan dua hari bermula 22 April bersempena Majlis
Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-58. Persidangan kali ini
melibatkan 100 peserta dengan objektif meningkatkan tahap
profesionalisme peserta selaras dengan tugas mereka sebagai PTAD. -
Bernama
No comments:
Post a Comment