Polis menahan seorang pengawal keselamatan yang dilapor terlepas
tembakan ketika bertugas di sebuah pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB)
di Jalan Mahsuri Bayan Baru di George Town semalam.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A Thaiveegan berkata senjata
jenis 'shotgun' dan lesen persendirian mengendalikan senjata api lelaki
berumur 56 tahun itu turut dirampas.
Beliau berkata sembilan kesan tembakan ditemui pada dinding kaunter
ketika senjata itu terjatuh ke lantai secara tidak sengaja dalam
kejadian jam 5.20 petang itu.
"Ketika kejadian, tiga petugas sedang bekerja di kaunter dan seorang
lagi pengawal keselamatan berada di kawasan berdekatan," katanya kepada
pemberita selepas melawat Hospital Pulau Pinang sempena Peringatan Hari
Polis ke-208 hari ini.
Beliau berkata lelaki terbabit yang berasal dari Balik Pulau berkhidmat
selama tiga tahun di pejabat berkenaan dan dibebaskan dengan jaminan
polis pada hari yang sama.
Sementara itu, beliau menyarankan syarikat keselamatan di negeri ini
mengadakan sesi taklimat berjadual kepada kakitangan untuk mengingatkan
mereka supaya sentiasa bersiap siaga dalam apa jua keadaan.
Terdahulu, beliau menyerahkan 40 hamper kepada pesakit kurang bernasib
baik dan beberapa anggotanya yang sedang menerima rawatan di wad C9 dan
wad C10 hospital itu.- Bernama
No comments:
Post a Comment