Jumpa semula selepas 70 tahun Seorang penduduk mengukur batu penanda sempadan mukim yang ditemui sambil diperhatikan oleh Azhar (kiri).










BAGAN SERAI - Selepas 70 tahun, batu persempadanan di antara dua mukim
ditemui semula ketika penduduk Kampung Parit Sungai Dungun, di sini
bergotong-royong membersihkan kuarters rumah Jabatan Pengairan dan
Saliran (JPS) Kerian untuk dijadikan dewan.



Ketua Kampung Parit Sungai Dungun, Azhar Yaacob berkata, batu pemisah
sempadan sepanjang 1.4 meter dan seberat satu tan itu ditemui
berhampiran parit utama kampung itu sewaktu kerja-kerja pembersihan
kuarters JPS dijalankan menggunakan jengkaut.



Menurutnya, penemuan batu pemisah sempadan di antara Mukim Kuala Kurau
dan Mukim Bagan Serai dianggap bersejarah memandangkan kampung itu
sememangnya dikenali sebagai kampung persempadanan antara dua mukim itu.



“Sebelum batu pemisah sem ini ditemui semula, agensi kerajaan dan
penduduk kampung terpaksa menjadikan parit utama kampung kami iaitu
Parit Sungai Dungun sebagai asas penanda persempadanan di antara dua
mukim dalam menyelesaikan sebarang masalah melibatkan tanah dan
penduduk.



“Penemuan ini bukan sahaja memastikan penduduk kampung dapat mengenal
pasti kedudukan penanda persempadanan tepat, malah ia berpotensi menjadi
mercu tanda baharu Kampung Parit Sungai Dungun,” katanya kepada
pemberita ketika ditemui di Kampung Parit Sungai Dungun, di sini
semalam.



Azhar berkata, pada zaman kini, hampir mustahil untuk menemui batu penanda sempadan yang masih wujud terutama di daerah Kerian.



“Kebiasaannya kita sering melihat dan mengetahui mengenai batu perenggan persempadanan lot rumah.



“Namun, bagi saya penemuan batu penanda sempadan antara mukim agak unik
kerana saya sendiri tidak pernah melihat rupa bentuk sebenar batu itu,”
katanya.




Beliau berkata, pihaknya bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung (JKKK) Kampung Parit Sungai Dungun merancang untuk memaklumkan
penemuan itu kepada agensi kerajaan bertanggungjawab.




Menurutnya, sekiranya mendapat kebenaran pihak berkuasa, pihaknya
merancang untuk baik pulih batu penanda sempadan itu dan menanamnya
kembali ke lokasi asal.



“Kami rancang jadikan mercu tanda baharu kampung yang sememangnya
terkenal dengan keunikan menjadi sempadan antara tiga mukim iaitu Mukim
Bagan Serai, Kuala Kurau dan Parit Buntar,” katanya.