Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membatalkan semua konsesi loji
janakuasa yang diberikan kepada 1MDB, dan bukannya membenarkan firma
sarat hutang itu mendapat keuntungan daripada rakyat dengan menaikkan
tarif elektrik.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua merujuk laporan The Edge Financial Daily,
bahawa Suruhanjaya Tenaga telah meluluskan kenaikan tarif kepada loji
kuasa solar 50MW 1MDB daripada 41 sen bagi setiap kWh kepada 50 sen per
kWh.
“Ini merupakan kenaikan sangat besar (whopping) 22 peratus tarif
elektrik dalam tempoh setahun selepas projek itu dianugerahkan secara
runding terus.
“Bekalan kuasa akan dijual kepada Tenaga Nasional, yang seterusnya
akan memindahkan beban kos kepada pengguna,” katanya dalam satu
kenyataan.
Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming pada 20 April lalu berkata,
kenaikan tarif 50 sen lebih tinggi daripada 49 sen yang dianugerahkan
baru-baru ini kepada loji kuasa tenaga solar lebih kecil antara 10 MW
dan 30 MW.
Manakala The Edge Financial Daily menedahkan, 1MDB dalam
proses ‘melupuskan’ bidaan yang dimenangi mereka bagi loji janakuasa
arang batu 2,000MW kerana kekurangan dana dan masalah hutang.
Ujar Tony,, TNB perlu memperoleh konsesi daripada 1MDB dan pengeluar
tenaga nasional itu akan dibenarkan untuk merundingkan tarif yang
ditetapkan sebelum ini.
“Sekali lagi, ini bermakna keuntungan lebih tinggi kepada 1MDB yang
tidak melakukan apa-apa selain daripada menjual konsesi, sedangkan
rakyat perlu membayar kadar elektrik lebih tinggi kepada TNB,” ujarnya.
Sebab itu katanya, semua tawaran kuasa kepada firma pelaburan
bermasalah itu patut dibatalkan dan diberikan kepada syarikat lain
melalui tender terbuka dan telus.
“Syarikat-syarikat yang paling kukuh dari segi kewangan dan
berpengalaman yang membida pada kadar tarif terendah harus dianugerahkan
kontrak,” tegasnya. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment