KAJANG – Kesesakan yang berlaku di wad lelaki Hospital Kajang
menyebabkan kira-kira 10 pesakit terpaksa ditempatkan di wad perempuan.
Seorang pesakit yang enggan dikenali berkata, dia dimasukkan ke wad itu
beberapa hari lalu selepas jururawat memaklumkan katil wad lelaki di
aras bawah dan tingkat satu penuh.
Disebabkan dia masih boleh bergerak dengan mudah, jururawat memintanya berpindah ke wad perempuan di tingkat dua.
“Saya pun tak tahu kenapa wad penuh tapi sebab nak dapat rawatan saya ikut saja arahan ke wad perempuan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati bangunan empat tingkat
hospital tersebut dikhususkan untuk menempatkan pesakit dewasa yang
perlu menerima rawatan harian.
Hospital yang masih mengekalkan ciri bangunan lama itu mempunyai
bahagian-bahagian lain seperti wad bersalin, wad kecemasan, wad
psikiatri, wad pediatrik dan klinik rawatan pesakit luar.
Sementara di bangunan empat tingkat, aras bawah dan tingkat satu
menempatkan wad pesakit lelaki manakala tingkat dua dan tiga untuk wad
perempuan. Setiap tingkat mempunyai 42 katil yang masing-masing sudah
dipenuhi nama pesakit.
Namun ketika tinjauan dibuat, kebanyakan pesakit keluar menerima
rawatan atau ada yang bersiar-siar bersama keluarga pada waktu melawat.
Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kajang, Low Hoon Hang berkata, kesesakan
di wad utama adalah perkara biasa terutama ketika berlaku peningkatan
kes denggi.
Menurutnya, pernah ada pesakit terpaksa tidur di lantai dan bermalam di koridor kerana kekurangan katil.
Masalah itu pernah beberapa kali diajukan kepada pihak kementerian,
namun maklum balas positif masih belum diterima sejak lebih tujuh tahun
lalu.
Menurut Hoon Hang, hospital daerah berusia hampir 100 tahun itu hanya
dinaiktaraf dari tahun ke tahun, namun ia tetap tidak dapat memenuhi
keperluan penduduk yang meningkat.
Katanya, jika mengikut piawaian sebenar, hanya tiga katil boleh
diletakkan di setiap baris, tetapi akibat ruang bangunan terhad, pihak
hospital terpaksa meletakkan lima katil di setiap baris.
“Walaupun sempit, pesakit tak ada pilihan sebab di sini lebih murah berbanding hospital swasta.
“Kita sudah hantar kertas cadangan minta bangunan enam tingkat
didirikan, tapi belum ada respons sedangkan pesakit meningkat dari hari
ke hari," katanya.
Beliau tidak menolak berlaku arahan supaya pesakit pulang lebih awal
walaupun belum sembuh sepenuhnya bagi memberi keutamaan kepada kes
kecemasan lain.
Katanya, pihaknya ada mencadangkan hospital itu dipindahkan ke kawasan
lebih luas sekurang-kurangnya 12 hektar di sekitar Kajang.
Hospital sedia ada terletak di atas tanah seluas 6.4 hektar, dipadatkan
dengan bangunan hospital, pejabat pentadbiran, wad pesakit mental, wad
pediatrik, wad bersalin, wad kecemasan dan klinik pesakit luar.
“Sekarang hanya ada kira-kira 300 katil bagi semua wad sedangkan kita
perlu sekurang-kurangnya 600 katil. Itu belum termasuk lain-lain
kekurangan yang dihadapi,” katanya.
No comments:
Post a Comment