Roketkini.com
SHAH ALAM: ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah menafikan
sekerasnya dakwaan pihak polis bahawa kononnya pejabat beliau telah
mengemukakan bantahan terhadap konsert ‘Thirst 2015: We are all
Stardust’.
Menurut beliau, dakwaan yang dibuat oleh Ketua Polis Daerah Serdang
Tuan Razimi Ahmad dalam satu kenyataan sama sekali tidak betul dan tidak
berasas.
“Kenyataan daripada Ketua Polis Daerah Serdang bahawa ‘Pejabat Ahli
Undangan Negeri berkenaan’ telah mengemukakan bantahan terhadap program
‘Thirst 2015: We are all Stardust concert’ adalah tidak betul dan
merupakan satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab,” katanya dalam
satu kenyataan, hari ini.
Razimi semalam mendakwa bahawa pihak polis telah membuat ulasan untuk
tidak menyokong setelah menerima bantahan dan maklumat pada 23 April
daripada masyarakat serta ‘Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan’
mengenai penganjuran konsert tersebut.
Namun kata Ean, beliau dan Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming
langsung tidak menyatakan sebarang halangan terhadap konsert itu yang
dijadualkan berlangsung di Mines International Exhibition and Convention
Centre (MIECC).
Ean yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor menegaskan, kelulusan
permit telah pun dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya pada 21
April lalu tapi pihak penganjur terpaksa membatalkan program kerana
pihak polis menarik balik sokongan di saat akhir pada 24 April sedangkan
konsert sepatutnya berlangsung pada 26 April.
“Saya tidak nampak ada satu penjelasan dan justifikasi yang kukuh
mengapa polis tukar fikiran mereka pada saat akhir terhadap satu program
antarabangsa, 3000 keping tiket telah pun dijual dan melibatkan jumlah
pelaburan besar.
“Saya meminta pihak polis supaya mengemukakan dokumen yang berkaitan
untuk membuktikan mana satu pejabat ADUN yang membantah tentang konsert
tersebut,” tegas beliau. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment