SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mencadangkan agar Tun
Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai pengerusi hisbah tertinggi negara
bagi memantau pentadbiran kerajaan.
Menurut Husam, tiada salahnya Dr Mahathir diberi kepercayaan tersebut
kerana diketahui umum bahawa bekas Perdana Menteri itu berani menegur
‘kemungkaran’ pentadbir negara.
“Kunci isu 1MDB adalah salah guna kuasa yang menghasilkan hutang besar
yang akan ditanggung oleh negara dengan melepaskan individu terbabit.
“Ini bukan isu pertama seumpamanya bagi negara kita. PKFZ, Perwaja, BMF
dan lainnya telah berlaku dan merosakkan sejumlah besar kekayaan
negara. Jika kita izinkan ia berlalu tanpa ditegur, satu demi satu
penyelewengan sepertinya akan berulang dan berulang.
“Bukankah itu satu kemungkaran? Atas dasar itu, kenapa tidak kita
membantu Tun M dalam isu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Husam berkata, dalam isu ini Dr Mahathir kena setapak
ke depan, menggagaskan satu mekanisme agar kesilapan seperti ini boleh
dihentikan walaupun dilakukan oleh sesiapa sahaja.
“Ia termasuk Pas, DAP atau PKR jika mereka satu hari nanti berkuasa.
Tanpa mekanisme itu, penyalahgunaan kuasa boleh berulang dan rakyat
biasa ibarat seperti anjing menyalak bukit ketika cuba
memperbetulkannya.
“Satu badan ombudsman atau hisbah tertinggi negara? Tun M sebagai pengerusi pertama? Saya sedia menyokongnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment