SINAR HARIAN
MUADZAM SHAH - Jentera BN di PRK Rompin dan Permatang Pauh akan
memberi penjelasan sewajar terhadap perkara yang dibangkitkan oleh bekas
perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,
bagaimanapun tumpuan utama penjelasan yang akan dibuat oleh jentera BN
ialah mengenai isu yang dibangkitkan oleh penduduk di kedua-dua kawasan
Parlimen itu.
"Mana yang boleh kita jawab, kita jawab. Itu tanggungjawab sebagai
jentera BN. (Namun) tak payah kita tumpukan kepada apa yang beliau (Dr
Mahathir) sebut, tapi lebih kepada apa yang kita tahu berlaku di bawah.
"Itu lebih baik dan menjurus kepada pengundi di kawasan itu (Rompin dan
Permatang Pauh)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis
ramah mesra bersama 600 warga Institusi Pendidikan Daerah Rompin di
Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, di
sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan berterusan Dr Mahathir terhadap pentadbiran kerajaan.
Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua
Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khir Mohamad Yusof, Pengarah Pendidikan
Pahang, Rosdi Ismail dan calon BN pada PRK Rompin, Datuk Hasan Arifin.
Ditanya sama ada kritikan Dr Mahathir akan memberi kesan buruk kepada
BN pada PRK itu, Muhyiddin berkata ia terserah kepada jentera parti
untuk turun ke akar mbi bagi memberikan penerangan.
Kebelakangan ini, Dr Mahathir menerusi media dan laman sosial
mempersoalkan pentadbiran negara, termasuk memberi saranan supaya
perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bermula pada 1
April lalu ditarik semula dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
dihentikan.
Dalam pada itu, Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata
beliau berpuas hati dengan perjalanan jentera BN di Rompin, yang
disifatkan beliau sebagai 'berjalan dalam satu pasukan yang kuat'.
"Saya harap dalam tempoh beberapa hari ini, tak ada kawasan yang kita
tinggalkan dan beri perhatian sama berat...calon kita (Hasan) juga baik
dan semua orang kenal, jadi senang untuk kita buat kerja," katanya
sambil menasihatkan penduduk Rompin untuk tidak mudah terpengaruh dengan
dakyah yang dibawa pembangkang semasa berkempen.
PRK Rompin yang akan diadakan pada 5 Mei ini menyaksikan Hasan dicabar
calon Pas, Nazri Ahmad, 40, bagi mengisi kekosongan ekoran kematian
penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di
Semenyih, Selangor, 4 April lepas.
Sementara itu, PRK Permatang Pauh menyaksikan pertembungan empat
penjuru antara calon BN, Suhaimi Sabudin, calon PKR, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shah Othman
dan calon Bebas, Salleh Isahak.
PRK yang dijadualkan pada 7 Mei ini diadakan berikutan keputusan
Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon
penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya,
sekali gus menyebabkan ketua umum PKR itu hilang kelayakan sebagai wakil
rakyat. - Bernama
No comments:
Post a Comment