Gambar: Setiausaha politik MB JohorMohammad Khairi Malek
menerima memorandum bantahan dari MP Kulai, Teo Nie Ching danADUN Pekan
Nenas,Yeo Tung Siong di Kota Iskandar pagi ini.
Roketkini.com
NUSAJAYA: Kerajaan Johor perlu mengeluarkan arahan
menghentikan semua aktiviti kuari dan pembalakan di Gunung Pulai, Johor
supaya khazanah berharga itu dapat dipelihara untuk generasi akan
datang.
Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, aktiviti pembalakan yang
berlaku di Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Pulai mendapat reaksi negatif
daripada penduduk sekitar Kulai, Pekan Nenas dan juga kumpulan pencinta
alam sekitar.
Ujarnya, berdasarkan jawapan di parlimen, HSK (Perlindungan) Johor
hanya meliputi 2106.64 km persegi, atau 10 peratus sahaja daripada
keseluruhan keluasan Johor.
Berbanding Selangor, kerajaan negeri telah menggazetkan sebanyak
1775.83 km persegi atau 22 peratus daripada keseluruhan 8,104 km persegi
daripada keseluruhan keluasan negeri itu sebagai Hutan Perlindungan.
Difahamkan, kerajaan Johor telah membekukan sebarang aktiviti
pembalakan di semua HSK (pengeluaran) di seluruh negeri sejak bulan Jun
tahun lalu.
“Tetapi hasil pemerhatian yang dilakukan di Gunung Pulai mendapati
satu projek pembalakan telah dilesenkan dan dijalankan sejak 1 Disember
2014 hingga 31 Mei 2015.
“Perkara ini perlu disiasat secepat mungkin,” kata N ie Ching dalam satu kenyataan.
Justeru itu, satu memorandum bantahan diserahkan kepada Menteri Besar
Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pagi ini melalui setiausaha
politiknya Mohammad Khairi Malek, bagi menggesa kerja-kerja pembalakan
dan kuari dihentikan segera.
Hadir sama ADUN Pekan Nenas, Yeo Tung Siong.
Tambah Nie Ching, meskipun sumber pendapatan Johor dan Selangor
hampir sama dan tiada keperluan tinggi untuk aktiviti pembalakan,
ironinya peratusan HSK (Pengeluaran) Johor jauh lebih banyak daripada
Selangor.
Menurut Nie Ching peratusan HSK (Pengeluaran) di Johor adalah
sebanyak 2232.96 km persegi, atau 50 peratus daripada 4448.4 km persegi
keseluruhan HSK di negeri ini.
Manakala peratusan HSK (Pengeluaran) Selangor hanya 725.46 km
persegi, atau 25 peratus daripada 2812.24 km persegi keseluruhan HSK.
“Menteri Besar perlu mengambil berat tentang penjagaan alam sekitar.
Bagi membuktikan keseriusan kerajaan negeri Johor, aktiviti kuari dan
pembalakan di Gunung Pulai perlu dihentikan segera.
“Saya menggesa agar kerajaan Johor memperbanyakkan lagi HSK
(Perlindungan) supaya khazanah yang berharga ini dapat dipelihara untuk
generasi akan datang,” tegas Nie Ching – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment