SINAR HARIAN
PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjual
57,200 unit kereta dalam suku pertama tahun ini yang berakhir pada 31
Mac 2015, naik 30 peratus daripada 44,024 unit pada suku yang sama 2014
berikutan permintaan kukuh terhadap model terbaharunya.
"Mac mencatatkan jualan bulanan tertinggi bagi kami dengan jangkaan
bahagian pasaran 34 peratus berdasarkan kepada anggaran jumlah jualan
keseluruhan industri sebanyak 65,500 unit pada Mac," kata Presiden dan
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh dalam satu
kenyataan.
Syarikat itu berkata, prestasi kukuh tersebut juga disebabkan
sebahagiannya oleh permintaan tinggi bagi Axia, yang memperoleh lebih
100,000 tempahan sejak ia mula dibuka pada 15 Ogos, 2014.
Pada 31 Mac 2015, Perodua menyerahkan lebih 60,000 unit Axia.
"Kami juga percaya permintaan kukuh pada Mac adalah disebabkan pengguna
mahu mendaftarkannya sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan
(GST)," kata Aminar.
Pendapatan selepas jualan Perodua meningkat sebanyak 14 peratus kepada
RM84 juta semasa Suku-1, daripada RM73 juta dalam suku yang sama 2014,
disumbang terutamanya daripada perkhidmatan penyenggaraan kenderaan
serta operasi kerangka kereta dan cat.
Sementara itu, hasil daripada alat-alat ganti dan aksesori meningkat
dua peratus kepada RM61.8 juta pada Suku-1 daripada RM61 juta dalam
tempoh yang sama pada 2014.
Perodua yakin dalam berhati-hati dapat mencapai sasaran jualannya
sebanyak 208,000 unit tahun ini susulan sokongan daripada permintaan
berterusan terhadap modelnya serta promosi-promosi lain.
"Kami juga menjangka Perodua dapat mencapai sasaran hasil RM306 juta
daripada perkhidmatan penyenggaraan kenderaan, minyak pelincir, operasi
kerangka kereta dan cat, serta RM258.9 juta daripada perniagaan
alat-alat ganti dan aksesori," kata Aminar.
Tahun lepas, Perodua menjual 195,600 kenderaan dan mencatatkan hasil
RM303.4 juta bagi operasi selepas jualan, serta RM243.7 juta bagi
alat-alat ganti dan aksesori. - Bernama
No comments:
Post a Comment