Friday, 24 April 2015

ADUN DAP junjung titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, tapi…

utusan-malaysia-anthony-loke



Roketkini.com





KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan
Rakyat (PR) Negeri Sembilan berhak mengambil sikap berkecuali ke atas
usul menjunjung kasih, titah ucapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan
kerana teks tersebut disediakan kerajaan negeri yang ditadbir BN.




Ketua Pembangkang DUN Anthony Loke berkata, ADUN Pakatan Rakyat
Negeri Sembilan tetap menjunjung titah tersebut dan berterima kasih
kepada baginda Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang berkenan merasmikan
Persidangan Pertama, Penggal Ketiga Dewan Undangabn Negeri Ke-13 di
Seremban, semalam.




Namun, Anthony berkata laporan Utusan Malaysia pada muka hadapan hari
ini bersifat memfitnah, apabila tajuk berita utamanya dilihat berniat
jahat, sehingga boleh memesongkan pandangan pembaca terhadap ADUN
Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan.




“Utusan Malaysia bankrap isu. Ini agenda jahat untuk timbulkan perasaan tidak puas hati terhadap pembangkang, khususnya DAP.




“Utusan Malaysia cuba menimbulkan persoalan dan memesongkan pemikiran
masyarakat. Saya membidas akhbar Utusan Malaysia yang menggunakan tajuk
utama, seolah-olah kita biadap,” kata Anthony pada sidang media di ib
pejabat DAP hari ini.




Jelas Anthony, tindakan 13 ADUN pembangkang Negeri Sembilan tidak
mengangkat tangan dalam menyatakan pendirian ke atas usul menjunjung
kasih titah ucapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, adalah kerana
teks tersebut disediakan kerajaan negeri yang ditadbir oleh BN.




“Saya nak betulkan (tafsiran) speaker (DUN Negeri Sembilan) yang
katakan (kami) tidak hormat. Kita tidak pernah tidak hormat (usul
menjunjung kasih). Dalam semua ucapan, kita menjunjung kasih.




“Speaker (pula) kata tak hormat Tuanku. Speaker (sebenarnya) tahu,
hendak mengundi atau tidak, adalah hak masing-masing (ADUN), jelas
Anthony.




Tambahnya, amalan di Parlimen Malaysia apabila ucapan menjunjung
kasih dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong oleh Perdana Menteri,
manakala di Negeri Sembilan, ucapan tersebut dipersembahkan oleh Menteri
Besar.




“(Namun) bila berbahas titah Diraja, ia melambangkan dasar kerajaan negeri. Ada dasar diumumkan yang kita persetujui.




“Kita ambil pendirian (bahawa) kita tidak ambil bahagian (bahas). Itu yang dijadikan isu oleh Utusan Malaysia,” jelas Anthony.




Justeru itu kata Anthony, pihaknya kini, sedang mengkaji untuk
mengambil tindakan undang-undang ke atas laporan Utusan Malaysia yang
bersifat memfitnah tersebut.




“Kita akan kaji tindakan undang-undang sekiranya ada unsur fitnah.
Kita tak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap Utusan
Malaysia,” tegas Anthony. – Roketkini.com






No comments:

Post a Comment