KUALA LUMPUR - Pas beri jaminan ahlinya tidak akan berpaling tadah
termasuk mensabotaj calon PKR yang akan bertanding pada PRK Parlimen
Permatang Pauh, 7 Mei ini.
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, tiada sebarang keputusan
baharu akan diumumkan mengenai perjalanan jentera parti itu yang akan
turun membantu PKR pada PRK tersebut.
“Keputusan masih sama seperti yang diputuskan pada mesyuarat 13 April
lalu bahawa Pas di negeri terlibat Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis
diarah untuk membantu PRK ini.
“Saya sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat menyeru ahli dan
penyokong di negeri-negeri terbabit membantu siapa juga calon yang
dipilih PKR,” katanya kepada pemberita pada sidang media Himpunan Hari
Pekerja #BatalGST di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor,
semalam.
Mengulas lanjut mengenai Pas Permatang Pauh yang mendesak PKR membuat
permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan tidak
menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud, Mohamad atau
lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, pimpinan tertinggi akan
bincangkan perkara itu.
“Kita akan bincang pada mesyuarat akan datang, saya pun tidak tengok
lagi hitam putih maklumat berkenaan. Saya dah maklum pada Setiausaha
Agung dan beliau akan panggil mesyuarat Dewan Harian. Kalau perlu kita
akan panggil mesyuarat, kalau tak perlu kita akan ikut arahan
awal,”katanya.
Sinar Harian semalam melaporkan Yang Dipertua Pas Kawasan Permatang
Pauh, Omar Hassan memberi tempoh kepada PKR sebelum hari penamaan calon
untuk membuat permohonan maaf dan menarik semula kenyataan tidak
menyokong hudud.
Menurutnya, jika PKR bersetuju dan meminta maaf, baharulah pihaknya
akan meneruskan kerjasama dengan parti itu dalam PRK Permatang Pauh.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh diisytiharkan kosong selepas
penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli
parlimen apabila Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja
yang dipohon pada 16 Mac lalu.
Sementara itu berhubung Himpunan Hari Pekerja-#Bantah GST yang diadakan
pada 1 Mei ini, Mat Sabu berkata polis telahpun dimaklumkan mengenai
perhimpunan itu.
“Himpunan bermula jam 2.30 petang, para peserta akan berhimpun di
Masjid Negara, Masjid Jamek, Sogo dan Menara Maybank dan bergerak ke
Dataran Merdeka dan seterusnya ke KLCC," katanya.
Beliau berkata, lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan politik akan terlibat dalam himpunan terbabit.
No comments:
Post a Comment