KUALA LUMPUR- Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KSWP) adalah memadai buat masa ini kerana ia telah diselaraskan dengan
gaji minimum pekerja, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata langkah menaikkan
caruman akan menjejaskan gaji bersih pekerja yang digunakan untuk
menampung kehidupan harian.
"Peningkatan peratusan kadar caruman bagi syer pekerja dan majikan
sememangnya dapat memberi impak berganda terhadap simpanan persaraan
ahli.
"Bagaimanapun, KWSP juga perlu peka dan mengambil kira faktor-faktor
lain seperti keadaan ekonomi semasa rakyat Malaysia yang terpaksa
mengharungi peningkatan kos sara hidup," katanya pada sesi soal jawab di
Dewan Negara di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Yoo Wei How mengenai kesediaan
KWSP meningkatkan kadar caruman pekerja dan majikan supaya dapat
menyelesaikan masalah ketidakcukupan jumlah wang caruman untuk
persediaan selepas bersara.
Chua berkata wang simpanan KWSP adalah untuk tujuan persaraan ahli dan
ia bergantung kepada beberapa faktor seperti kadar upah yang diterima,
kadar caruman majikan dan pekerja, pemberian dividen tahunan serta
sebarang pengeluaran yang dibuat sebelum mencapai umur 55 tahun.
Katanya pengeluaran itu termasuk untuk tujuan perumahan, haji,
pendidikan, kesihatan dan hilang upaya serta pengeluaran semasa umur 50
tahun.
Beliau berkata kecukupan simpanan persaraan ahli juga bergantung kepada
kesedaran mereka untuk menabung lebih awal bagi menyelaraskan simpanan
dengan gaya hidup yang diingini selepas bersara.
"Ahli juga perlu mengambil kira keadaan kesihatan mereka semasa
persaraan dengan menyediakan simpanan secukupnya memandangkan kos
kesihatan yang semakin meningkat," katanya.
No comments:
Post a Comment