Soalan yang ditanya Cheng mungkin
menimbulkan kemarahan, namun dia hanya menjalankan tugasnya sebagai
wartawan untuk bertanya dan mendapatkan maklum balas.
PETALING JAYA: “Saya hanya mahu setiap orang saling menghormati satu
sama lain. Walaupun dia Cina, saya tidak mahu dia diserang, dimarah atau
dipukul,” kata wartawan Sinar Harian, Janatul Firdaus Yaakob.
Janatul atau dikenali Jannah berkata, walaupun saling tidak mengenali
tetapi atas dasar setiakawan sebagai rakan media, dia merasa
bertanggungjawab untuk melindungi wartawan The Star, Nicholas Cheng.
Katanya, perbuatan peserta demo di Taman Medan pada Ahad lalu yang
menengking Cheng tidak sepatutnya berlaku kerana wartawan itu hanya
menjalankan tugas.
“Saya tidak nafikan soalan yang ditanya Cheng mungkin menimbulkan
kemarahan, namun dia hanya menjalankan tugasnya sebagai wartawan untuk
bertanya dan mendapatkan maklum balas,” katanya kepada FMT.
Jannah mendapat pujian ramai di laman sosial selepas wartawan The
Star itu memuatnaik statusnya di Facebook yang menceritakan bagaimana
dia ‘dilindungi’ oleh seorang wartawan wanita Islam yang hanya dikenali
sebagai Jannah.
Cheng menceritakan dia merasa sangat cemas apabila dikerumun oleh
peserta demo yang membantah sebuah gereja memasang tanda salib tetapi
dilindungi oleh Jannah dan wanita itu menemaninya sepanjang temubual
dijalankan.
“Awak ikut saja saya dan jangan pergi jauh,” pesan Jannah seperti dilaporkan Cheng.
Menceritakan kejadian itu, Jannah yang telah empat tahun bertugas
sebagai wartawan berkata, suasana ketika itu agak tegang apabila setiap
soalan yang ditanya oleh Cheng akan ditengking oleh peserta demo.
“Saya faham penduduk di situ marah tetapi mereka tidak sepatutnya
melepaskan kemarahan kepada Cheng yang hanya datang sebab bertugas. Itu
bukan budaya Melayu dan bertentangan dengan ajaran Islam,” tegas anak
kelahiran Kedah itu.
Jannah berkata, dia menemani Cheng sehingga ke kereta selepas selesai
tugasan kerana sedih dengan permintaan lelaki itu supaya menelefon
polis sekiranya dipukul oleh peserta demo.
“Saya rasa bertanggungjawab sekiranya dia dipukul oleh orang seagama
dan sebangsa dengan saya sedangkan dia tidak bersalah,” katanya.
No comments:
Post a Comment