SUNGAI BESAR – Seorang lelaki warga emas bukan saja kerugian RM15,000,
malah ditinggalkan bersendirian selepas dipukau seorang wanita warga
asing dan seorang lelaki tempatan di Sekinchan di sini, minggu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi Selasa itu, mangsa, Mukadi
Resad, 68, mengikut kedua-dua suspek menaiki sebuah kereta dari sebuah
bank di Sungai Besar ke sebuah bank yang sama di Sekinchan bagi
mengeluarkan wang simpanannya.
Mukadi dari Kampung Sungai Limau berkata, dia yang baharu saja
mengeluarkan wang RM1,500 bagi kegunaan perbelanjaan harian dari sebuah
bank di Sungai Besar didatangi seorang wanita tidak dikenali ketika
berada di parkir motosikal untuk pulang ke rumah.
“Wanita itu menghampiri dan merayu kepada saya supaya jadi penjamin
kerana dia menang nombor ekor. Wanita itu beritahu dia berasal dari
negara jiran, dan tak boleh ambil duit itu selagi tak ada penjamin orang
tempatan.
“Saya bagi alasan kena balik cepat sebab nak ambil cucu pulang dari
sekolah, tetapi selepas itu, datang pula seorang lelaki memujuk saya
supaya bantu wanita itu yang dalam kesusahan,” katanya.
Seolah-olah dipukau, Mukadi tanpa membantah terus parkir motosikalnya
berhampiran bank itu lalu mengikut kedua-duanya menaiki kereta dipandu
lelaki terbabit.
“Semasa berada dalam kereta, wanita itu menceritakan kesusahan dialami,
termasuk perlukan wang segera disebabkan kakak iparnya nak bersalin di
Teluk Intan,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek terus memperdayanya selepas diminta
mengeluarkan wang simpanan dari bank untuk didahulukan kepada wanita
terbabit dengan mengisi borang pengeluaran wang yang terdapat di dalam
keretanya.
“Saya pun isilah borang. Mula-mula dia minta RM30,000, tapi saya tegas
untuk keluarkan RM15,000 saja. Mereka pun tak cakap banyak lalu
meletakkan kereta selang beberapa bangunan berhampiran bank terbabit.
“Sebaik keluar dari bank, saya masuk semula ke dalam kereta. Mereka
kemudiannya ambil wang itu dan beritahu saya perlu buat salinan MyKad
untuk menjadi penjamin bagi membolehkan wanita itu menebus wangnya di
kedai nombor ekor,” katanya.
Katanya, lelaki itu kemudian menurunkannya di sebuah restoran mamak
dengan alasan bagi memudahkannya mencari mana-mana kedai yang
menyediakan perkhidmatan mesin salinan MyKad.
“Saya tengok sebuah kedai tutup, saya pergi ke sebuah kedai lain, tapi
tak ada pula mesin salinan MyKad. Sebaik keluar dari kedai, saya tengok
kereta terbabit dah hilang,” ujarnya.
Menurut Mukadi, sebaik mendapati kedua-dua suspek hilang dari
pandangan, gerak hatinya kuat mengatakan dia dipukau kedua-dua suspek
berkenaan.
“Saya terus ke sebuah bank lain di Sekinchan untuk berjumpa dengan anak
saudara dan menceritakan detik malang itu. Dia kemudiannya menghantar
saya ke Sungai Besar untuk ambil semula motosikal yang saya tinggalkan
di sana,” katanya.
Katanya, akibat kejadian itu, dia terus membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar kira-kira jam 2 petang, hari yang sama.
Sementara itu, Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata,
terdapat sekurang-kurangnya empat kejadian warga emas ditipu dengan
modus operandi yang hampir sama dalam tempoh sebulan ini.
“Saya difahamkan, ada seorang mangsa ditipu sehingga RM40, 000 dengan
menggunakan helah dan taktik yang sama dan saya sendiri akan menghantar
surat kepada semua pengurus bank di Sungai Besar berhubung perkara ini,”
katanya.
Katanya, pihak institusi kewangan diminta mengambil langkah tambahan
terutama kepada warga emas yang mengeluarkan wang melebihi amaun biasa
termasuk meminta pengesahan daripada waris terdekat bagi mengelakkan
kejadian sama berulang.
No comments:
Post a Comment