Alias Ahmad Datuk Seri Alias Ahmad










PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) mengesahkan beberapa barangan mengalami penurunan
harga di seluruh negara selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST).



Ketua Setiausahanya,‎ Datuk Seri Alias Ahmad berkata, ‎ hasil analisa
terhadap harga barangan bagi April berbanding Mac lalu, 99 barang telah
mengalami penurunan harga di Semenanjung dan 145 di Sabah serta 102 di
Sarawak.



"Ini bukti bahawa selepas pelaksanaan GST, tidak semua barang naik
harga. Sebab barang-barang ini dikecualikan GST yang tidak boleh
dikenakan 6 peratus.



"Peniaga yang tidak bertanggungjawab yang menaikkan harga. Sebab itu
kita minta pengguna lapor kepada kita," katanya pada sidang media di
KPDNKK, hari ini.



Melalui senarai barangan harga turun hasil analisa harga bulan April
berbanding Mac di Semenanjung, 99 barangan tersebut mengalami penurunan
antara satu sen sehingga RM7.80.



Antaranya, udang putih besar import, ikan bawal putih import, tomato,
Dumex Dupro Langkah 2, bawang besar Import China, telur ayam, ayam
bersih Super, minyak sawit campur Cap Pisau dan teh boh sebuk.



Dalam pada itu, beliau tidak menafikan ada barangan dalam kategori sama
yang mengalami kenaikan susulan punca yang tidak dapat dielakkan.



"Harga barang yang naik itu ada memang tak dapat dielakkan. Macam kobis
bunga, kacang bendi...Sebab cuaca, kadar mata wang," katanya.



Melalui pembentangan pegawai KPDNKK dalam sidang media sama, beberapa
faktor lain turut memainkan peranan dalam kenaikan harga barangan
tersebut iaitu kondisi bekalan yang diterima.



“Kebanyakan barangan basah tidak dikenakan GST dan komoditi barangan
basah sensitif terhadap sebarang perubahan ekonomi dan cuaca,” katanya.



Ketika ditanya mengenai senarai barangan yang mengalami kenaikan harga,
beliau memberitahu pihaknya akan mengemukakan senarai barangan naik
kelak.