SHAH ALAM: Umno Permatang Pauh percaya sentimen pengundi kawasan itu
pada pilihan raya kecil (PRK) kali ini bakal berubah ekoran rakyat sudah
muak dengan politik keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Apatah lagi desas-desus menyatakan nama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail dan anak perempuan Anwar, Nurul Nuha mungkin diangkat sebagai
calon pada PRK 7 Mei nanti.
Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata,
bukan pengundi sahaja yang akan menolak Azizah atau Nurul Nuha, tetapi
rakan komponen dalam Pakatan Rakyat, iaitu PAS juga secara terbuka tidak
bersetuju.
"Saya yakin keputusan nanti akan menterjemahkan kehendak orang
Permatang Pauh yang sangat kecewa ataupun letih dengan politik keluarga
yang berlaku di Permatang Pauh dalam tempoh 17 tahun ini.
"Sudah ada satu gerakan atau gelombang perubahan yang mungkin
diterjemah dalam PRK kali ini. PAS secara terbuka menolak Datuk Seri Dr
Wan Azizah sebagai calon dalam PRK kali ini.
"Dan apabila PAS buat kenyataan itu bermakna PAS menyedari bahawa
majoriti pengundi Permatang Pauh sama ada dari Pakatan ataupun atas
pagar tidak boleh lagi menerima apa saja alasan untuk mencalonkan
Azizah," katanya secara eksklusif kepada Antarapos.
Awal bulan ini, Azizah ada menyatakan kesediaannya untuk menjadi calon
di Permatang Pauh bagi menggantikan suaminya yang dipenjarakan selepas
didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada
2008.
Tambah Zaidi lagi, Azizah tidak wajar dicalonkan kerana mengambil kira
faktor usianya yang sudah tua dan beliau juga merupakan ADUN Kajang.
Difahamkan penduduk di Kajang juga sering merungut kebajikan mereka
diabaikan dan sehingga kini Azizah gagal menyelesaikan masalah banjir
kilat yang sering melanda seperti yang dijanjikan beliau sebelum dipilih
menjadi ADUN.
"Sebab mereka tahu dalam keadaan usianya yang dah 60 lebih (tahun),
dengan tugasnya sebagai ADUN Kajang dan juga suaminya di penjara. Tidak
mungkin Azizah boleh menjaga Permatang Pauh, Kajang, keluarganya,
cucunya dengan keterbatasan waktu yang dia ada itu.
"Sedangkan sebelum ini dia tak boleh jaga Permatang Pauh, hari ini nak jaga dua kawasan," katanya.
No comments:
Post a Comment