PERMATANG PAUH - BN mengumumkan Suhaimi Sabudin sebagai calonnya yang
akan bertanding dalam PRK Parlimen Permatang Pauh 7 Mei ini.
Ia diumumkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang
juga Timbalan Pengerusi BN dalam majlis khas di pusat operasi BN di
Perda City Mall, Bandar Perda di sini petang ini.
Dilahirkan pada 25 Oktober 1971, Suhaimi, 44, adalah anak ketiga dari
tujuh beradik dan terlibat aktif dalam bidang politi selain seorang
kontraktor yang berjaya.
Kini memegang jawatan sebagai Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh.
Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Guar Perahu dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Penanti.
Memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang seni bina dan ukur bahan Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor.
Suhaimi mendirikan rumah tangga bersama Firyal Harlina Hanapiah, 40, dan dikurniakan empat cahaya mata.
Turut hadir di majlis itu ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi yang juga pengarah pilihan raya PRK Permatang Pauh;
Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel dan Pengerusi Umno Pulau Pinang,
Datuk Zainal Abidin Osman.
PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga
Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon
penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ahli keluarganya, sekali
gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK
Permatang Pauh pada 7 Mei, penamaan calon 25 April manakala pengundian
awal 3 Mei.
Dalam PRU13, Anwar yang juga Ketua Umum PKR memperolehi 30,348 undi
menewaskan calon BN, Dr Mazlan Ismail dengan 25,369 dan calon bebas, Dr
Abdullah Zawawi Samsudin yang hanya mendapat 201 undi.
Anwar mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 11,721 undi dan sekali gus
meletakkan Permatang Pauh terus berada dalam pengaruh PKR sejak 1999
yang ketika itu diwakili isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail
yang juga Presiden PKR.
No comments:
Post a Comment