KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Kerajaan negeri telah membuka pusat
sekretariat yang berpusat di Wisma Darul Iman, bagi memantau pelaksanaan
cukai barang dan perkhidmatan (GST), dan mendapatkan maklum balas serta
aduan daripada pengguna.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata,
sekretariat ini juga memantau harga barangan di pasaran agar tidak
dimanipulasi peniaga, selain memberi maklumat mengenai harga barangan di
pasaran.
Menurutnya, itu antara kaedah yang digunakan untuk membantu rakyat,
selain memberi pemahaman kepada rakyat mengenai barang yang dikenakan
GST dan tidak dikenakan GST.
“Apa yang berlaku sekarang ini peniaga yang memanipulasi pengguna
kerana ada pengguna yang masih belum faham sebenarnya. Sebab itu ada
peniaga yang ambil kesempatan.
“Kadang-kadang kita tengok peniaga sendiri pun tak faham, ada yang
tidak turunkan harga, ada pula yang tambah enam peratus sedangkan dia
tidak layak. Jadi mereka perlu maklumat sebegini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan
Menteri Besar Bersama Pengetua dan Guru Besar Sekolah-sekolah Negeri
Terengganu 2015 di Wisma Darul Iman.
Jelas Ahmad Razif, kerajaan negeri juga sedang melihat cadangan atau
keperluan untuk mewujudkan kiosk bergerak sebagaimana yang dilaksanakan
di Perak.
Sekiranya melihat ia perlu dilaksanakan, kerajaan negeri akan membuka
kiosk bergerak dan turun ke daerah, terutamanya di kawasan di luar
bandar memberi penerangan serta membantu rakyat agar mereka dapat
membeli barangan dengan harga yang betul.
“Mungkin juga kita akan beri subsidi, iaitu bekerjasama dengan Mydin
yang akan bertindak sebagai pembekal dan kita akan gunakan van atau lori
turun ke daerah. Ini kita belum muktamadkan lagi, ia akan diputuskan
selepas Pilihan Raya Kecil Rompin.
“Kita bimbang kalau kita ambil tindakan sebegitu, nanti akan beri
kesan kepada peniaga sebab bila kerajaan negeri menggunakan kiosk
bergerak ini, nanti orang tidak beli dah di kedai.
“Selepas ini, kalau nampak peniaga masih lagi memanipulasikan pembeli,
kerajaan negeri tidak akan teragak-agak melaksanakan program
sebagaimana yang kerajaan Perak lakukan iaitu kerajaan negeri ambil alih
jadi penjual,” katanya.
No comments:
Post a Comment