Alvin dikecam, biadab hina Azan Sedutan video yang dimuatnaik oleh Alvin Tan.










SHAH ALAM - ‎Seorang paderi tampil menulis surat terbuka kepada blogger
kontroversi, Alvin Tan susulan tindakan biadabnya merakam 'lagu Azan'
melalui sebuah video, baru-baru ini.



Paderi sebuah gereja, Dr Sherman Kuek berkata, ‎tindakan Alvin tersebut sangat kurang ajar yang bertujuan jahat.



"Kehadapan Encik Alvin, saya menulis kepada saudara kerana secara
peribadinya saya marah terhadap tindakan saudara yang melakukannya
dengan hasrat yang salah dan saya menganggap tindakan seperti itu penuh
dengan sikap kurang ajar.



"Sama seperti rakyat Malaysia yang lain, saya sedar akan kurangnya rasa
hormat saudara terhadap pihak berkuasa, kelakuan sosial dan kesedaran
moral. Dengan itu, saya tidak akan terkejut jika surat ini dibalas
secara tidak hormat.



“Barangkali tindakan yang saudara boleh ambil adalah dengan tidak
menghiraukannya sama sekali, tetapi mengikut konteks di mana kami
sebagai rakyat Malaysia hidup, apa yang dilakukan oleh saudara tidak
boleh dilepaskan begitu sahaja tanpa bantahan daripada rakyat Malaysia,"
katanya yang dipetik melalui blog miliknya.



‎Video bertajuk 'Muslim Call to Prayer - Azan (R&B cover)' yang
dimuat naik melalui laman Facebooknya dikecam orang ramai, termasuk
orang bukan Islam.



[ARTIKEL BERKAITAN: Surat terbuka untuk Alvin Tan]



‎Dalam surat terbuka itu juga, Dr Sherman berkata penghinaan Alvin itu
bukan hanya dirasai penganut beragama Islam, malah turut dilihat sebagai
serangan kepada manusia-manusia di dunia yang menganut pelbagai agama.



"Barangkali bukan niat kamu untuk menolak ritual keagamaan secara
keseluruhan tapi ia tetap merupakan sesuatu yang biadab dan walau kamu
hanya hina sesuatu agama secara khusus, tapi tindakan ini tetap serangan
kepada agama. Bukan hanya kepada rakan-rakan Muslim tapi turut dilihat
sebagai serangan kepada penganut pelbagai agama.



"Penghinaan saudara mungkin boleh saja dilakukan terhadap zikir Katolik
Latin ataupun zikir veda penganut Hindu...untuk ini, tindakan saudara
membuat saya marah," katanya.



Beliau sempat berharap agar Alvin mengambil masa yang cukup untuk
analisa dan memahami apa yang sebenarnya yang berlaku di negara ini dan
cuba terlibat secara membina daripada melakukannya dengan cara yang
tidak senonoh.



"Dalam kapasiti peribadi dan sebagai rakyat Malaysia, saya bertegas
menolak sebarang tindakan yang saudara lakukan dan akan lakukan.‎ Video
saudara yang lebih narsisistik daripada kelakar atau menghiburkan, ia
suatu halangan kepada usaha kami untuk membina masyarakat yang lebih
bagus untuk anak-anak kita dari semua agama.



"Saya harap saudara mempunyai hidup yang baik di Amerika di mana
ekspresi anda benar-benar boleh bebas. Tetapi pada dasarnya, bukan
amalan keistimewaan dan hak yang menentukan kualiti seseorang," katanya.