Abu Bakar Yahya Abu Bakar Yahya










SHAH ALAM - Perkasa Selangor desak kerajaan negeri merujuk
undang-undang sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh
mencetuskan kekeliruan rakyat di sebalik isu gereja di Taman Medan,
Petaling Jaya yang mendapat bantahan penduduk sekitar baru-baru ini.



Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, merujuk
kenyataan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Perhubungan Bukan Islam
Selangor, Elizabeth Wong bahawa premis komersil yang dijadikan tempat
ibadat tidak memerlukan permit, ia seolah-olah dibuat tanpa merujuk dari
segi perundangan.



“Kenyataan Exco Selangor itu agak janggal malah bertentangan dengan
kenyataan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menegaskan bahawa
mana-mana pusat ibadat yang beroperasi di premis komersil di kawasan
MBPJ supaya mematuhi Akta 133 Seksyen 70 (12),” katanya dalam satu
kenyataan media, hari ini.



Menurut Abu Bakar, akta berkenaan menetapkan sesiapa yang menggunakan
sesuatu bangunan atau bahagian bangunan bagi sesuatu maksud tanpa
mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada PBT, boleh didenda
tidak melebihi RM25,000 dan denda tambahan tidak melebihi RM500 bagi
tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan.



“Sebagai salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Elizabeth
sepatutnya merujuk terlebih dahulu dari sudut undang-undang yang
terpakai dalam isu gereja berkenaan sebelum menyalahkan mana-mana pihak
di sebalik bantahan masyarakat Islam di kawasan itu sebelum ini.



Sebelum ini Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria itu turut
mendedahkan gereja terbabit tidak mempunyai permit dan tidak pernah
membuat permohonan bertulis kepada PBT untuk menjalankan aktiviti
keagamaan di premis berkenaan.