Wednesday, 22 April 2015

Majlis Fatwa Beri Tempoh Setahun Untuk GST Patuhi Syarak

RAKYATNEWS













alt






PUTRAJAYA - Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat, tempoh masa
secukupnya wajar diberikan dalam pelaksanaan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST) sehingga ia mematuhi hukum syarak yang ditetapkan.


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri
Dr. Abd. Shukor Husin, terlalu awal untuk membuat sebarang tafsiran
berhubung sistem percukaian yang mula dikuatkuasa pada 1 April lalu itu.


"Kita perlu beri masa sekurang-kurangnya setahun untuk melihat sama ada pelaksanaan GST ini mengikut hukum syarak atau tidak.


"Terlalu awal untuk kami membuat penilaian pada masa ini kerana cukai
tersebut baru sahaja dilaksanakan," katanya selepas mempengerusikan
mesyuarat jawatankuasa majlis itu di sini, Isnin.


Sehubungan itu, kata Abd Shukor, majlis berkenaan menggariskan enam parameter syarak yang perlu dirujuk dalam pelaksanaan GST.


"Ia meliputi komitmen kerajaan dalam melaksanakan syariat Islam, sumber
kewangan, cukai yang dikutip hanya untuk memenuhi Maslahah Dharuriyat
dan Hajiyat, bebanan cukai dikutip secara adil, cukai dibelanjakan untuk
maslahah ummah dan bukan untuk maksiat serta agihan cukai perlu
bertepatan dengan ijithad ulama semasa dan setempat," katanya.


Abd Shukor juga menerangkan ulama memberikan pendapat yang berbeza
semasa perbincangan yang dibuat mengenai pelaksanaan cukai itu, sama ada
haram atau harus.


"Setelah perbincangan tersebut, ulama sebulat suara menyatakan
pelaksanaan GST harus dilaksanakan tetapi dengan berpandukan enam syarak
yang ditetapkan," kata Abd. Shukor lagi.


Beliau menambah, pertimbangan hukum yang dibuat itu tidak memihak kepada
mana-mana parti politik, malahan keputusan dibuat selepas mengambil
kira laporan intensif yang disediakan penyelidik di kalangan pakar
syariah dan ekonomi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).






No comments:

Post a Comment