Muhyiddin Yassin Calon
BN Datuk Hasan Arifin (empat kanan) dan calon Pas Nazri Ahmad (tiga
kiri) diumumkan sebagai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya
Kecil (PRK) Parlimen Rompin P091 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad
Shah di sini, hari ini. - Foto Bernama











ROMPIN - Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak
mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin walaupun
kawasan itu merupakan kubu kuat parti.



Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri
Muhyiddin Yassin berkata, sebaliknya jentera parti perlu bekerja keras
untuk meningkatkan sokongan pengundi sekali gus menambah jumlah
majoriti.



"Kita tahu Rompin sejak sekian lama merupakan kawasan biru (BN) tetapi
kita tidak boleh ambil mudah, perlu tambahkan sokongan, maka jentera
harus tingkatkan gerak kerja.



"Ini akan diselaraskan oleh (Naib Presiden Umno) Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein (Pengarah Operasi BN PRK Rompin) dengan dibantu
(BN) peringkat negeri dan rakan komponen BN untuk menunjukkan kepada
rakyat tentang kesatuan dan kesepaduan parti," katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi calon BN,
Datuk Hasan Arifin untuk proses penamaan calon PRK Parlimen Rompin di
Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.



Turut serta dalam sidang akhbar itu ialah Naib Presiden Umno Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob
dan calon BN Datuk Hasan Arifin.



Muhyiddin berkata BN akan menggunakan PRK itu sebagai platform untuk
memperjelaskan tentang beberapa isu yang dibangkitkan pembangkang
termasuk soal kos sara hidup.



"Isu GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) selain harga getah dan kelapa
sawit tidak boleh dinafikan hakikatnya berlaku bukan sahaja di negara
ini tetapi juga di peringkat global.



"Ini menjadi tanggungjawab kita sebagai kerajaan untuk berikan
penjelasan. Macam isu GST, kita kena faham ia satu keperluan dan
matlamatnya untuk kepentingan rakyat," katanya.



Timbalan Perdana Menteri mengakui pelaksanaan peringkat awal GST
menimbulkan rasa kurang senang hati rakyat, namun aduan-aduan itu akan
diperjelas.



Mengulas mengenai sasaran undi BN pada PRK Rompin, Muhyiddin berkata
beliau menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap 38 peti
daerah mengundi (PDM) di kawasan Parlimen itu untuk menambah jumlah
majoriti.



Katanya, setiap undi adalah penting bagi menjamin kesinambungan
pembangunan sosioekonomi kawasan parlimen itu yang telah diusahakan oleh
bekas anggota Parlimennya Tan Sri Jamaluddin Jarjis.



Sementara itu, Muhyiddin melahirkan rasa syukur dengan proses penamaan
calon yang berjalan lancar, tanpa sebarang insiden tidak diingini.



Katanya ia mempamerkan amalan demokrasi yang baik dalam kalangan penduduk tempatan.



PRK Rompin pada 5 Mei ini menyaksikan pertandingan antara Hasan, yang
merupakan pemangku Ketua Umno bahagian Rompin mewakili BN, dan calon Pas
Nazri Ahmad, yang juga Yang Dipertua Pas kawasan Rompin dan Ketua Dewan
Pemuda Pas Pahang.



Pilihan Raya Kecil itu diadakan berikutan kematian Jamaluddin dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.



Pada pilihan raya umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang
disandangnya hampir enam penggal itu mengalahkan bekas Ketua Dewan
Muslimat Pas Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi. - Bernama