dikir barat di Pantai Kelulut didakwa menampilkan penyanyi perempuan
berpakaian seksi bebas menari bersama penonton lelaki.
MARANG - Pemuda Pas Marang semalam, melahirkan kekesalan terhadap satu
penganjuran pertunjukan dikir barat di Pantai Kelulut kerana menampilkan
penyanyi perempuan berpakaian seksi bebas menari bersama penonton
lelaki.
Ketua Pemuda Pas Marang, Mohamad Aswadi Mohamad berkata, perlakuan
tidak senonoh di hadapan umum itu sememangnya boleh dijangka apabila
persembahan nyanyian dianjurkan tidak menimbangkan kelebihan manfaat
berbanding kesan keburukannya.
“Itulah sebabnya Islam melarang penganjuran hiburan yang boleh
melalaikan kerana kesan dari kelalaian itu lebih besar keburukannya,”
katanya mengulas mengenai pertunjukan yang didakwa diadakan sempena satu
program itu.
Menurutnya, Pemuda Pas Marang juga menerima beberapa keping gambar
artis wanita terbabit yang berpakaian tidak senonoh sambil menari
bersama seorang penonton lelaki sudah berusia dan ia kelihatan amat
memalukan.
“Ia (penyebaran gambar itu) telah meninggalkan kesan sangat memalukan
kepada rakyat Malaysia khasnya umat Islam apabila kita lihat gadis
Melayu Muslim berpakaian tidak senonoh menari bersama penonton lelaki
seperti itu,” katanya.
Mohamad Aswadi berkata, ketegasan serta keprihatinan pihak berkuasa
serta masyarakat adalah perlu untuk mengelakkan golongan muda daripada
terus dibanjiri hiburan seperti itu melibatkan artis tanpa sebarang
rujukan keteladanan positif.
Tambahnya, pemimpin kerajaan juga perlu tegas menyekat unsur yang boleh
merosakkan akhlak generasi muda negara dan Pemuda Pas Marang memohon
agar pihak berkuasa terlibat lebih peka dengan sensitiviti umat Islam.
“Dalam kes ini, penganjur harus bertanggungjawab dan tidak boleh lepas
tangan dengan apa yang berlaku manakala Pejabat Agama Marang pula perlu
lihat kembali Garis Panduan Hiburan Dalam Islam, terbitan Jakim sejak
2007.
“Namun, sejauh manakah garis panduan ini diberi perhatian dan dirujuk
oleh semua agensi dan penganjur program (berkenaan)? Adakah persembahan
ini mendapat restu dari Pejabat Agama Marang?,” soalnya.
Menurutnya, Pemuda Pas Marang akan membuat kunjungan ke Pejabat Agama
Marang untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai perkara itu
dalam masa terdekat ini.
Sementara itu, Sinar Harian gagal untuk mengesan penganjur pertunjukan terbabit.
No comments:
Post a Comment