Lok Yim Pheng Lok Yim Pheng










KUALA LUMPUR – Baru-baru ini, heboh orang ramai bercakap mengenai tahap
pencapaian pelajar Malaysia yang didakwa masih terkebelakang berbanding
negara lain.



Tetapi kualiti pendidikan dijangka lebih terjejas pada masa depan jika
tinjauan mengenai tekanan guru yang dilakukan Kesatuan Perkhidmatan
Perguruan Kebangsaan (NUTP) diambil kira.



Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, tinjauan terbaharu NUTP
yang dibuat tahun lalu menunjukkan tekanan dihadapi guru di Malaysia
semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya
disebabkan pengenalan pelbagai program pendidikan baharu serta
penggunaan sistem elektronik (e-sistem) untuk merekodkan segala aktiviti
di sekolah.



Menurutnya, keadaan fizikal dan mental guru yang ‘letih’ akibat beban
tugas tambahan ini menyebabkan mereka tidak mampu menyampaikan
pendidikan berkualiti kepada pelajar.



“NUTP tahun lalu ada minta guru senaraikan beban tugas mereka. Memang
tugas masukkan data secara online ini antara yang paling menimbulkan
tekanan hebat. E-sistem ini menyebabkan guru menderita,” katanya dalam
temu bual eksklusif bersama Sinar Harian, baru-baru ini.



Menurutnya, guru terpaksa membazirkan masa berjam-jam sehari untuk
mengisi maklumat pelajar dalam pelbagai sistem elektronik berbeza yang
diperkenalkan kementerian di bawah program Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (PBS) sejak 2011.



"E-sistem ini ada berpuluh jenis, (jabatan pendidikan) negeri ada,
persekutuan ada, Kementerian Pendidikan ada. Sedangkan data sama
(contohnya e-kehadiran, e-salah laku, e-disiplin) yang sudah dimasukkan
dalam sistem A, perlu dimasukkan sekali lagi dalam sistem B.



“Disebabkan ini, ada guru yang akhirnya memilih untuk bersara awal
kerana tak lagi rasa seronok untuk mengajar seperti dahulu kerana
terlalu terbeban dengan tugas memasukkan data ke dalam e-sistem,”
katanya.



Menurutnya, ada aduan diterima mengenai e-sistem tidak dapat diakses
pada waktu puncak sehingga menyebabkan guru terpaksa habiskan masa
sehingga jam 2 atau 3 pagi hanya untuk memasukkan data.



“Guru manusia, bukan mesin. Kalau masukkan data sampai jam 3 atau 4
pagi, datang sekolah dalam keadaan mengantuk, macam mana dia nak fokus
pada pelajar. Akhirnya kesan kepada pelajar, menjejaskan kualiti
pendidikan,” katanya.



Yim Pheng berkata, antara penyelesaian masalah ini adalah melantik
pembantu guru, iaitu cadangan NUTP yang sudah diluluskan pada 2013 oleh
Kementerian Pendidikan namun belum dilaksanakan.



Satu e-sistem tunggal dan berpusat perlu diwujudkan supaya guru tidak
perlu berulang kali memasukkan data sama dalam sistem berbeza.




Jangan ‘humban’ semua program



Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), katanya, juga
menyebabkan terlalu banyak program baharu diperkenalkan di sekolah dalam
masa singkat, menyebabkan tekanan guru bertambah kerana mereka tidak
dapat menguasai sesuatu program secukupnya sebelum diarahkan beralih ke
program lain.



“Sepatutnya beri jarak masa yang sesuai supaya guru dapat sesuaikan
diri dengan sesuatu program dan berehat secukupnya sebelum beralih ke
program seterusnya,” katanya.



Beliau berkata, walaupun diakui guru tertekan, dasar baharu di bawah
PPPM adalah baik untuk pelajar pada masa akan datang kerana menekankan
kemahiran berfikir belajar.



Bilangan pelajar juga terlalu ramai menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.



“Satu kelas ada sampai 40 hingga 50 murid. Di bawah PBS, seorang guru
perlu beri perhatian secara individu kepada pelajar. Itu yang
menyebabkan guru tertekan kerana tidak cukup masa,” katanya sambil
menambah jumlah pelajar yang sewajarnya di bawah PBS adalah 20 hingga 20
orang dalam satu kelas.



Beliau juga berkata, guru perlu menghadiri terlalu banyak mesyuarat sehingga menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan kelas.



Katanya, isu itu pernah dibangkitkan dalam laporan NUTP bertajuk
‘Pandangan dan Syor NUTP: Beban Guru’ pada 2005 yang mengkaji tekanan
dalam kalangan guru berkaitan beban kerja tambahan.



Yim Pheng berkata, susulan penerbitan laporan itu, Kementerian
Pendidikan menubuhkan jawatankuasa menangani beban kerja guru dan sejak
itu, lebih 10 mesyuarat diadakan untuk membincangkan kaedah dan
penyelesaian sesuai.



Walaupun terdapat perubahan di peringkat awal laporan itu diterbitkan
10 tahun lalu, semuanya kembali kepada asal kini apabila rungutan
diterima daripada guru yang terpaksa hadiri terlalu banyak mesyuarat.



Menurutnya, isu ini boleh diselesaikan jika pengetua atau guru besar
sekolah mampu menyelesaikan masalah dengan cekap tanpa memerlukan guru
meninggalkan kelas untuk menghadiri mesyuarat.



“Kalau dapat agihkan tugas sama rata kepada semua guru dan kendalikan
sekolah secara lebih profesional serta ada strategi, saya rasa kita
dapat kurangkan terlalu kerap sangat mesyuarat. Sekarang s ada e-mel,
WhatsApp, banyak perkara boleh dapat maklum balas dan bincang (tanpa
mesyuarat),” katanya.




Beri cikgu rehat secukupnya



Katanya, tanggapan lapuk guru hanya bekerja separuh hari tidak tepat
kerana kajian dibuat NUTP menunjukkan guru bagi sekolah sesi pagi yang
hadir ke sekolah pada jam 7 pagi hanya pulang paling awal jam 2 petang
malah, ada yang perlu bertugas pada waktu petang atau malam untuk
program tambahan atau mesyuarat.



“Pada waktu mereka tidak ada kelas, mereka gunakan masa itu untuk tanda
buku, buat persediaan mata pelajaran seterusnya, masukkan data dalam
e-sistem. Sekarang kita ada terima aduan ada sekolah yang ingin
memasukkan kelas tambahan dalam jadual tetap guru. Jadi bila guru nak
rehat?,” katanya.



Katanya, guru juga kurang rehat apabila perlu ke sekolah pada Sabtu dan
Ahad serta cuti umum disebabkan pelbagai aktiviti luar, program
tambahan dan mesyuarat.



Selain itu katanya, kajian NUTP mendapati sesetengah guru terutama guru
muda mempunyai masalah keyakinan diri semasa pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas, tidak tahu berkomunikasi dengan ibu bapa
serta tiada kemahiran menyelesaikan masalah pelajar di dalam kelas.



“Itu yang kadang-kala timbul isu guru pukul pelajar sampai cedera. Ini
semua disebabkan tekanan. Jadi kita cadangkan Kementerian Pendidikan
buat kursus psikologi untuk ajar guru imbangi emosi semasa mereka
tertekan,” katanya.



Selain itu, dasar pendidikan yang kerap berubah punca tekanan guru
meningkat, termasuk sistem PBS yang diperkenalkan empat tahun lalu.



Ada sekolah balik kepada budaya peperiksaan apabila diberi kelonggaran adakan ujian bawah PBS.



“Kita cadang kepada kementerian, sekolah mesti hanya ada peperiksaan
pertengahan dan akhir tahun. Ibu bapa mesti ada keyakinan terhadap
sekolah. Jangan bila tiada ujian, ibu bapa kata anak tak belajar. Itu
masih terikat mentaliti peperiksaan,” katanya.



Katanya, apa yang guru mahukan adalah masa mencukupi dengan anak murid
supaya mereka dapat mengembangkan potensi pelajar dan melahirkan modal
insan yang baik.



“Saya nampak Timbalan Perdana Menteri (yang juga Menteri Pendidikan)
Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup prihatin terhadap beban kerja guru.
Tetapi belum ada penyelesaian,” katanya.