pdrm









PENDANG - Polis menahan 13 pelajar bagi membantu siasatan berhubung
laporan kes pukul seorang pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama
di Pendang pada Sabtu lalu.



Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Supritendan Abdul Aziz Ahmad
berkata, enam pelajar Tingkatan Empat dan tujuh pelajar Tingkatan Lima
itu ditahan polis pada 11.15 pagi ini di sekolah terbabit.



Katanya, dua lagi pelajar Tingkatan Lima yang dipercayai terbabit dalam
kes itu telah digantung daripada asrama sekolah semalam dan telah
pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani.



"Tindakan untuk menahan mereka (bagi membantu siasatan) akan dilakukan
dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.



Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan yang hanya mahu dikenali
sebagai Ustaz Zainol Abidin ketika dihubungi berkata, laporan penuh
kejadian itu telah dihantar oleh pihak sekolah kepada Pengarah Jabatan
Pendidikan Negeri.



Dalam kejadian pada Sabtu lalu, Muhammad Ammar Aqil Zainudin, 13, dari
Taman Ria Mesra, Gurun mendakwa dia dipukul kira-kira 30 pelajar senior
di sekolah tersebut dari 12 tengah malam hingga 1.30 pagi di bilik
asrama pelajar senior. - Bernama