SINAR HARIAN
BUKIT MERTAJAM - Polis telah mengenal pasti 16 lokasi panas di sekitar
kawasan Parlimen Permatang Pauh sepanjang kempen PRK kawasan itu, kata
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi.
Beliau berkata, polis turut mengenal pasti sembilan kawasan yang berkemungkinan berlaku pergaduhan.
Abdul Rahim berkata, bagi memastikan proses PRK itu lancar, polis
membuka 30 bilik gerakan di kawasan berkenaan dan menempatkan 260
pegawai serta anggota untuk 24 jam.
"Pada pandangan saya, pilihan raya kecil Permatang Pauh ini nampaknya
rancak. Saya percaya kekuatan pegawai dan anggota kontinjen Pulau Pinang
serta bantuan daripada Bukit Aman akan dapat menjaga keamanan di sini,"
katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Abdul Rahim ditemui selepas mengadakan lawatan ke Institut Kemahiran
Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam yang merupakan pusat penamaan calon
bagi PRK Permatang Pauh, di sini, hari ini.
Abdul Rahim turut menasihatkan parti-parti politik yang bertanding agar
memohon permit ceramah untuk berkempen mulai sekarang kerana permohonan
permit boleh dibuat dalam tempoh 10 hari sebelum mengadakan ceramah.
"Saya nasihatkan parti-parti politik bertanding agar tidak menimbulkan
provokasi atau membangkitkan isu-isu sensitif sepanjang tempoh
berkempen," katanya.
PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan selepas penyandangnya Datuk Seri
Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat apabila Lembaga
Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar
melalui anggota keluarganya.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat
bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang
Pauh pada 7 Mei, penamaan calon 25 April manakala pengundian awal 3 Mei.
- Bernama
No comments:
Post a Comment