Monday, 20 April 2015

Hasan Bakal Teruskan Legasi Jamaluddin Jarjis

RAKYATNEWS























ROMPIN - Pemilihan pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin, Datuk
Hasan Arifin sebagai calon BN untuk PRK Parlimen Rompin pada 5 Mei ini
dilihat menepati aspirasi penduduk Rompin yang mahukan anak tempatan
mewakili mereka.


Hasan bukanlah satu nama asing untuk penduduk Parlimen Rompin kerana
beliau sendiri pernah menjadi Ketua Umno bahagian itu pada 1986 dan
banyak membawa pembangunan di kawasan berkenaan yang hasilnya masih
dinikmati sehingga kini oleh penduduk setempat.


Antaranya termasuk Projek Sawah Padi Paya Laka seluas 4,451.4 hektar di
Kampung Sepayang Kuala Rompin dan 6,070 hektar sawah padi di Paya
Setajam, Kampung Setajam.


Sehubungan itu, tidak hairan jika Hasan yang juga Pengerusi Pertubuhan
Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pahang menjadi pilihan penduduk sebaik
sahaja berlaku kekosongan di Parlimen Rompin (P091) selepas kematian
penyandangnya Tan Sri Jamaluddin Jarjis pada 4 April lepas.


Dalam usianya yang mencecah hampir 62 tahun, Hasan bukan calang-calang
orang dalam bidang politik di Pahang kerana beliau pernah menjadi
Timbalan Menteri Besar Pahang dari 1995 hingga 1999.


Semasa menjadi Timbalan Menteri Besar Pahang, pelbagai program
pembangunan dilaksanakan termasuk menjadi orang yang bertangungjawab
membangunkan kawasan perindustrian Gebeng yang sehingga kini menjadi
antara nadi kegiatan ekonomi Pahang.


Beliau juga antara pemimpin yang memainkan peranan untuk memastikan
kejayaan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur selain memperbesarkan
Pelabuhan Kuantan.


Hasan mula menyertai Umno pada tahun 1976 dan kemudian dilantik menjadi ahli jawatankuasa Umno Bahagian Pekan pada 1978.


Beliau menjadi Ketua Pemuda Umno bahagian itu pada 1984 sebelum beralih
angin ke kawasan Rompin dengan memegang jawatan yang sama pada 1986.


Melihat kepada kredibiliti yang ditunjukkan, Hasan terus diberikan
kepercayaan untuk menerajui Umno Bahagian Rompin pada 1990-2004 selain
pernah menjadi Adun Bukit Ibam dan Exco kerajaan negeri.


Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian negeri Pahang dan Ahli Lembaga Pengarah Felda.


Latar belakang pendidikannya juga tidak kurang hebat kerana Hasan
mempunyai kelulusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya dan
pernah mengikuti kursus pengurusan di Asian Institute Of Management,
Manila, Filipina.


Maka tidak hairan jika Hasan menjadi pilihan masyarakat setempat serta pucuk pimpinan Umno Bahagian Rompin.






No comments:

Post a Comment