Monday, 20 April 2015

Dua Polis Trafik Pengiring Ahmad Zahid Cedera

MSTAR ONLINE










Dr Ahmad Zahid melihat keadaan salah seorang anggota
polis trafik, Koperal Ramlan Arifin (kanan) yang cedera dalam kemalangan
semasa mengiringi beliau di Butterworth, Pulau Pinang.











BUTTERWORTH: Dua anggota
polis trafik cedera dalam kemalangan berhampiran Jalan Arowana di sini
ketika mengiringi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
yang melakukan lawatan kerja sehari di Permatang Pauh.



Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Supt Baharom Abu
berkata Kpl Ramlan Ariffin, 52, dan Kpl Zulkifli Md Desa, 48, dihantar
ke Hospital Seberang Jaya, dekat sini untuk rawatan.



Katanya kemalangan pada pukul 9.50 pagi itu menyebabkan semua kenderaan
dalam rombongan itu berhenti di tepi lebuh raya dan Ahmad Zahid sendiri
turut membantu kedua-dua anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis
Daerah SPT yang cedera itu sehingga ambulans tiba.



Dua anggota trafik itu adalah antara kumpulan anggota trafik yang
mengiringi rombongan Ahmad Zahid dari Pangkalan Tentera Udara Diraja
Malaysia (TUDM) Butterworth ke Wisma Transformasi UMNO Permatang Pauh di
Tanah Liat dekat sini, katanya.












"Ketika sampai di lokasi kejadian, seorang anggota pengiring mengarahkan
semua kenderaan di laluan susur kiri memperlahankan kenderaan dan
berhenti berikutan rombongan berkenaan ingin masuk ke laluan itu untuk
ke Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE).



"Bagaimanapun, sebuah kenderaan pacuan empat roda enggan memperlahankan
kenderaannya untuk berhenti, sebaliknya terus memandu laju menyebabkan
sebuah motosikal anggota pengiring terpaksa mengelak," katanya.



Baharom berkata motosikal anggota trafik yang mengelak kenderaan itu
bergesel dengan sebuah lagi motosikal polis pengiring menyebabkan
kedua-duanya terjatuh.



Beliau berkata kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki
itu tidak berhenti, sebaliknya memecut laju meninggalkan tempat
kejadian.



"Kami tidak dapat nombor pendaftaran kenderaan itu," katanya sambil
meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang nombor pendaftaran
kenderaan pacuan empat roda berkenaan supaya menghubungi balai polis
berhampiran bagi membantu siasatan.



Sementara itu, Ahmad Zahid turut melawat kedua-dua anggota polis trafik itu di Hospital Seberang Jaya, selepas solat Jumaat.



Ramlan, ketika ditemui pemberita di hospital itu berkata kejadian itu
tidak mematahkan semangat beliau untuk terus bertugas sepanjang pilihan
raya kecil Parlimen Permatang Pauh nanti.



"Saya tidak ada masalah untuk terus bertugas walaupun mendapat cuti
sakit, saya memang berminat. Cuma saya terkilan motosikal saya rosak
teruk," katanya.



Menceritakan detik kemalangan itu, Ramlan yang mengalami kecederaan di
muka, bahu dan lengan berkata ketika kejadian beliau berada di lorong
kiri untuk masuk ke Jalan Arowana manakala rakan setugasnya, Zulkifli
berada di hadapan.



"Tiba-tiba kenderaan 4WD dengan laju memotong dari hadapan untuk masuk ke situ juga.



"Zulkifli tidak sempat mengelak, dan saya juga tak sempat elak lalu kami
bergesel. Saya nampak lepas kejadian konvoi Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi berhenti dan mereka membantu kami sehingga ambulans tiba,"
katanya yang memberitahu bahawa Zulkifli patah buku lali kaki kanan.



Beliau berkata kejadian itu adalah yang pertama sepanjang 10 tahun beliau berkhidmat di unit trafik.

No comments:

Post a Comment