Roketkini.com
JOHOR BAHRU: Di hari ulang tahun kelahiran mendiang Teoh Beng
Hock, DAP menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
memulakan siasatan keatas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan
isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ahli parlimen Kulai, Teo Nie Ching, ADUN Pengkalan Rinting Cheo Yee
How dan ADUN Johor Jaya Liow Cai Tung membuat laporan di ibu pejabat
SPRM Johor hai ini.
Dalam satu kenyataan bersama yang dipetik menyatakan, berbanding
mendiang Teoh yang disoalsiasat selama 12 jam tanpa henti, Najib dan
Rosmah terlepas dari sebarang siasatan, sedangkan kedua mereka
dilaporkan berbelanja mewah dan membeli aksesori mahal seperti
didedahkan akhbar utama AS, The New York Times (NYT).
“Ketika menyiasat dakwaan bahawa Exco Selangor Ean Yong Hian Wah
menyalahgunakan peruntukan, pegawai SPRM menyerbu pejabatnya di Bangunan
SUK Selangor tanpa arahan bertulis dari pendakwaraya.
“Mereka menahan dan membawa Teoh ke pejabat SPRM di Shah Alam untuk
disoalsiasat, selain menafikan haknya diwakili peguam sehingga hari
berikutnya.
“Beng Hock kemudiannya ditemui meninggal dunia di tingkat 5 bangunan
bersebelahan,” kata Nie Ching merujuk insiden pada tahun 2009 itu.
Sedangkan kata Nie Ching, gaya hidup mewah Najib dan keluarga dipercayai di luar kemampuannya, tidak pernah disiasat SPRM.
Akhbar NYT dalam artikel bertarikh 8 Februari 2015 melaporkan, Najib
yang hanya memperoleh gaji tahunan kira-kira USD100,000 sebagai Perdana
Menteri dikaitkan dengan berita perbelanjaan mewah isterinya.
“Satu siri gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan Rosmah
membawa sekurang-kurang sembilan beg tangan, yang dianggarkan berharga
diantara USD9,000 dan USD150,000,” laporan NYT dipetik.
NYT turut mendedahkan salinan invois dan dokumen lain menunjukkan
tempahan barang kemas termasuk berlian, cincin zamrud dan gelang delima
yang berharga berjuta-juta dolar di Hong Kong pada 2008 dan 2009.
Malah, NYT turut mendedahkan transaksi rahsia pembelian secara tunai
sebuah apartmen mewah di Park Laurel, New York dan sebuah rumah di
Beverly Hills oleh Riza Aziz, anak tiri Najib yang berusia 38 tahun,
masing-masing bernilai USD 33.5 juta dan USD17.5 juta.
“Jika pendekatan agresif digunapakai dalam penyiasatan, SPRM
seharusnya telah menyerbu pejabat Najib, membawanya ke pejabat SPRM
sebagai saksi, tidak membenarkan kehadiran mana-mana peguam, dan
disoalsiasat selama 12 jam.
“Tetapi mereka (SPRM) tidak lakukan. Sebaliknya, sangat bersopan,” sindir Nie Ching.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebelum ini
berkata, pihaknya menyiasat dakwaan pembelian cincin RM24.4 juta oleh
isteri perdana menteri Rosmah Mansor.
Kasim mendakwa pihaknya menghubungi telah Najib dan meminta isterinya
membawa cincin yang diperkatakan itu dua jam selepas laporan.
“Kagum dengan kecekapan SPRM, itu sebabnya kami membuat laporan di
ibu pejabat SPRM Johor, agar mereka menyiasat dakwaan dan kandungan
artikel yang disiarkan NYT.
“Kami membeli kek hari jadi ini ketika membuat laporan ke SPRM.
Kerana hari ini 20 April, yang sepatutnya hari ulang tahun kelahiran
ke-36 Teoh Beng Hock. Dalam apa jua keadaan, kami berharap dapat
mendengar laporan kami dalam kadar segera.
“SPRM, tolong buktikan kepada kami bahawa anda bukannya harimau kertas,” kata Nie Ching. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment