Theng Hooi Theng Hooi










ALOR SETAR - DAP Kedah mendesak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
meletak jawatan kerana didakwa gagal menguruskan parti dengan baik dan
efisien.



Setiausaha Organisasi, Law Theng Hooi berkata, kegagalan itu
menyebabkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menggunakan akta pertubuhan untuk
menolak dan tidak menerima keputusan pemilihan parti sebanyak dua kali
pada 2012 dan 2013.



Beliau berkata, kekeliruan juga timbul apabila berlaku pertambahan
lebih 120 cawangan baharu di seluruh negara pada pemilihan 2013 yang
masih dalam siasatan ROS.



"Kekeliruan ini masih belum dijawab oleh Guan Eng," katanya pada sidang media, di sini, semalam.



Theng Hooi berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga bersikap pilih kasih terhadap pemimpin DAP.



Menurutnya, bekas Adun DAP Pulau Tikus, Koay Teng Hai digantung
keahlian kerana tidak hadir pada sidang Dun Pulau Pinang ketika
pembentangan usul lompat parti.
Ketidakhadirannya nyaris menggagalkan usul berkenaan.



"Apabila berlaku terhadap Guan Eng sendiri (tidak hadir) di Dewan
Rakyat ketika pembentangan Akta Hasutan hukuman setimpal perlu diterima
oleh Guan Eng sama seperti Teng Hai.



"Namun itu tidak pula berlaku. Jangan anggap disebabkan dirinya
memegang jawatan tinggi dalam parti boleh mengelak dari dikenakan
tindakan disiplin," katanya.



Theng Hooi berkata, jawatankuasa disiplin perlu bertindak tegas dengan mengambil tindakan ke atas Guan Eng kerana kecuaian itu.