Di sebalik tiga tragedi penerbangan tahun lepas, aliran pelancong dari Amerika Syarikat ke Malaysia pada 2014 terus stabil.
Naib Presiden Tourism Malaysia pejabat Los Angeles Azlina Azni Zainal
Abidin berkata jumlah keseluruhan ketibaan dari Amerika ke Malaysia pada
tahun lepas adalah 262,000 orang.
"Di sebalik tiga tragedi ini, kami mencapai sasaran kami. Semestinyalah,
tanpa tragedi ini, kami boleh mencapai jumlah ketibaan dari Amerika
yang lebih tinggi," katanya kepada Bernama semasa kunjungannya di New
York untuk menghadiri mesyuarat.
Beliau berkata sungguhpun ketiga-tiga tragedi itu adalah dahsyat, namun
pihaknya dimaklumkan oleh industri kembara di Amerika bahawa imej
Malaysia sebagai destinasi pelancongan menarik seharusnya tidak
terjejas.
"Kalangan yang berkunjung ke Malaysia menjadi jurucakap bagi negara itu.
Pelancong memberitahu saya aset terbaik Malaysia adalah rakyatnya yang
sangat mesra, ramah tamah dan sedia membantu. Sebagai sebuah destinasi,
banyak yang Malaysia boleh tawarkan. Kami akan terus mempromosi
Malaysia," katanya.
Naib Presiden Tourism Malaysia mempunyai bidang kuasa merangkumi Amerika
Latin, Brazil, Mexico, Venezuela dan beberapa negara lain selain pantai
barat Amerika.
Azlina Azni menegaskan aliran pelancong dari Amerika ke Malaysia
kebanyakannya datang dari pantai barat disebabkan 'kedudukannya yang
dekat dengan Asia' dan kekerapan penerbangan yang disediakan syarikat
penerbangan ke Malaysia menerusi hab negara mereka seperti Cathay
Pacific, Singapore Airlines, All-Nippon Airways, EVA Airways.
Malaysia Airlines tidak mengadakan penerbangan ke Amerika Utara, dan
menghentikan perkhidmatan ke dua destinasi di Amerika iaitu Los Angeles
dan Newark-New York, beberapa tahun lepas.
"Kebanyakan aliran pelancong dari Amerika ke Malaysia datang dari pantai
barat. Kami juga bekerjasama dengan pejabat pelancongan di negara Asia
yang lain," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment