SHAH ALAM – Umno
boleh lumpuh jika akar umbi diketepikan kerana golongan itu adalah nyawa
kepada perjuangan parti selama ini, kata Pengerusi Umno Selangor, Datuk
Seri Noh Omar.




Beliau berkata,
Umno berdepan cabaran untuk mendapatkan semula keyakinan dan sokongan
golongan muda di kalangan masyarakat Melayu.




“Sempena Hari Umno, parti harus terus mendekati akar umbi kerana ia adalah teras kekuatan parti.



“Saya tidak
setuju golongan muda secara total menolak Umno, itu pendapat yang tidak
betul kerana masih ramai yang menyokong, mendampingi serta melibatkan
diri dalam program Umno.




"Ramai juga
golongan muda atas pagar yang sedang memerhatikan gelagat kita, sama ada
Umno ini benar-benar mendengar suara mereka atau tidak,” katanya dalam
satu kenyataan, semalam.




Beliau turut
merujuk kepada amanat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang
menekankan pentingnya semua ahli melakukan transformasi.




"Seiring dengan
usia parti yang semakin matang, Umno juga perlu memastikan pewaris yang
bakal menjadi nakhodanya tidak sesekali melupakan asas serta dasar
perjuangannya,” katanya.




Justeru itu
katanya, semua ahli Umno perlu mengambil semangat dari sambutan Hari
Umno ke-69 untuk sepakat memperjuangkan Umno dan BN dalam pilihan raya
umum akan datang sekali gus menawan kembali negeri Selangor.




"Umno yang
mula-mula naikkan Selangor, sudah tentu kita mahu kembalikan negeri yang
kita bangunkan ini. Berdoalah semoga ALLAH memberkati perjuangan Umno
ini," katanya.




Beliau dalam pada
itu menegaskan. Umno Selangor akan terus berdiri teguh di belakang
presidennya meskipun pemimpin itu dipalit pelbagai kontroversi.