SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Merasionalisasikan sektor awam, mewajarkan saiz
perkhidmatan dan memperkenalkan dasar pemisah bagi personel berprestasi
rendah merupakan antara usaha yang bakal dilaksana kerajaan dalam
Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
Langkah itu bertujuan menjadikan perkhidmatan awam berfokuskan rakyat
yang disokong dengan bakat yang lebih berkemahiran, kurang lapisan
hirarki dan birokratik, kurang pemusatan kerja serta perkhidmatan yang
lebih mudah dicapai, cekap dan berkesan untuk rakyat.
Menurut dokumen RMK11 2016-2020 yang dibentangkan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini, sektor awam akan
memperkenalkan pendekatan kreatif dan inovatif untuk meningkatkan
kualiti sistem penyampaian.
Kerajaan akan memperkenalkan beberapa langkah transformasi dengan
tumpuan akan beralih ke arah tadbir urus bersama rakyat dengan
meningkatkan pemahaman berkaitan keutamaan rakyat dan melibatkan mereka
dalam perancangan dan penyampaian perkhidmatan.
Prosedur birokrasi yang menghalang fasilitasi penyampaian perkhidmatan
awam yang cekap akan dipermudah, data dimanfaatkan sepenuhnya,
pertindanan dikurangkan dan akauntabiliti ditingkatkan.
Laporan itu menyebut kerajaan akan beralih daripada peranan sebagai
penyedia perkhidmatan dengan memberi lebih penekanan kepada peranan
sebagai fasilitator.
Bagi mencapai matlamat ini, di bawah RMK11 yang merupakan rancangan
untuk tempoh lima tahun dari 2016 hingga 2020, lima bidang fokus dikenal
pasti untuk mentransformasikan perkhidmatan awam.
Selain itu, pengurusan projek akan ditingkatkan untuk mencapai
keputusan yang lebih baik dan cepat serta memanfaatkan pihak berkuasa
tempatan bagi menyediakan perkhidmatan berkualiti pada peringkat
tempatan.
Di bawah setiap bidang fokus tersebut, laporan RMK11 itu menggariskan
secara terperinci strategi yang akan dilaksana seperti untuk
mengurangkan kerenah birokasi, menyusun semula institusi sektor awam dan
mengurangkan pertindanan peranan.
Model penyampaian dan perkhidmatan baharu ini membolehkan kerajaan
melaksanakan pembaharuan dan pengukuhan supaya operasi menjadi lebih kos
efektif dan kerajaan lebih bersedia untuk memenuhi permintaan dan
ekspektasi rakyat menjelang 2020 dan seterusnya. - Bernama
No comments:
Post a Comment