SHAH ALAM - Bekas guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), Ekhsan
Bukharee Badrul Hisham, 24, membidas saranan yang dikemukakan Kerajaan
Selangor bahawa ruang rayuan terbuka untuk beliau.
Menurutnya, kenyataan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan
Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang
memaklumkan kerajaan negeri tidak menyekat bekas guru agama sambilan
Sekolah Rendah Agama Pekan Kapar, Klang untuk membuat rayuan.
“Bagaimana saya nak buat rayuan sedangkan tidak diberikan sebarang
surat rasmi berkenaan rayuan. Takkanlah melalui kenyataan media sahaja?
Prosedur mana yang mereka ikut?
“Saya akan gunakan ruang (rayuan) jika diberikan, tetapi saya tetap
dengan pendirian tidak akan mengaku salah. Saya punya prinsip dan teras
perjuangan yang jelas untuk mempertahankan hak dan kebajikan guru Kafa
yang lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Ekhsan Bukharee berkata, rayuan hanya akan dibuat jika ruang diberikan,
namun malangnya pihak bertanggungjawab sekadar mengeluarkan kenyataan
media semata-mata.
“Saya masih menunggu surat rasmi daripada mereka (kerajaan negeri),
saya juga perlu tahu bagaimana prosedur rayuan, kaedah menjawab dalam
rayuan dan surat berkenaan perlu hantar ke saluran mana?
“Takkanlah saya nak buat rayuan menerusi kenyataan media sahaja? Ini mengarut,” katanya.
Turut berkongsi maklum balas yang diterima beliau daripada banyak pihak
yang prihatin, Dalam pada itu, Ekhsan Bukharee berkata, Biro Pemuda
Umno bahagian Pelajaran, Mohd Rafiq Naizamohideen menghubunginya untuk
menawarkan khidmat guaman percuma.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Pemuda Umno atas tawaran tersebut.
Selain itu saya juga mendapat tawaran khidmat guaman daripada pelbagai
pihak lain antaranya rakan aktivis dan juga badan bukan kerajaan.
“Saya akan buat keputusan dalam tempoh terdekat ini, terima kasih
kepada semua pihak yang prihatin dan sudi menawarkan khidmat guaman
percuma,” katanya.
No comments:
Post a Comment