PETALING JAYA: Ahli
lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sepatutnya dipecat
dengan segera, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Saya beritahu perdana menteri, pecat semua mereka, lembaga pengarah
1MDB. Buang mereka!
Mereka yang menjadi beban kepada perdana menteri ,"
katanya dalam satu majlis taklimat tertutup yang dipercayai di Institut
Latihan Memperkasa Umno di Janda Baik minggu lalu.
Rakaman ucapan Muhyiddin yang dilakukan secara tertutup menjadi viral, di mana beliau mengkritik beban hutang terkumpul 1MDB.
Video tersebut dikongsi oleh sebuah blog dan dimuat naik di laman sosial YouTube.
Muhyiddin berkata, beliau bertanya kepada Najib bagaimana isu itu
perlu diselesaikan kerana rakyat perlu ditunjukkan bahawa kerajaan
mentadbir secara telus dan melihat skandal 1MDB dengan serius.
Beliau turut berkata, kenyataannya bukan bertujuan untuk menunjuk
kehebatan dan bukan bermaksud dirinya membenci kepimpinan Najib atau
menjatuhkan presiden parti.
"Namun isu dan masalah tersebut adalah masalah sebenar...Bagaimana
dalam tempoh singkat, sebuah syarikat milik kerajaan menanggung beban
liabiliti RM42 bilion?," soalnya.
"Kalau syarikat itu saya punya dan saya bangun pagi dilaporkan bahawa
ada perkara luar biasa yang berlaku dan tidak semena-mena CEO pinjam
RM10 bilion, tiap bulan saya kena bayar interest RM100 juta
hingga RM200 juta... saya tidak terfikir mana-mana syarikat dalam dunia
tanggung beban begitu, tetapi itu berlaku di Malaysia," kata Muhyiddin.
Turut kelihatan dalam majlis tersebut ialah Menteri Dalam Negeri,
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad
Maslan dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
"Apa yang anda buat (dengan syarikat seperti itu)? Buang mereka! CEO ini buang! Dan panggil polis siasat!
"Ambil tindakan, jadi rakyat tengok, barulah pimpinan kerajaan rasa
bertanggungjawab. Ambil tindakan serius. Jika tidak buat begitu ini akan
jadi beban yang membawa kita jatuh ke bawah," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment