KUALA LUMPUR - Tanggungjawab dalam perkara berkaitan agama Islam
merupakan sebab Pas masih 'marah' dengan DAP, kata Presiden Pas Datuk
Seri Abdul Hadi Awang hari ini.



Beliau berkata jika parti itu tidak mempertahankan agama Islam, maka tiada kemanisan iman pada anggota dan pemimpin parti itu.



"Bila kita nak mengemukakan usul yang berkait dengan undang-undang
jenayah syariah (Hudud) di Kelantan, yang berkait dengan orang Islam
sahaja, tidak ada kena mengena (dengan) orang bukan Islam.



"Kita sudah mengadakan pertemuan bersama dengan DAP dan (DAP) bersetuju
Kelantan ada hak untuk mengemukakannya, DAP hak dia tak bersetuju.



"Namun demikian, dia terus membuat kenyataan menghentam Kelantan...ini
hak Kelantan, kita dah bersetuju," kata Abdul Hadi ketika menjawab
pertanyaan seorang hadirin pada program "Bicara Harakah" di sini.



Beliau ditanya mengapa Pas masih marah dengan DAP yang merupakan rakan dalam Pakatan Pembangkang.



Menyentuh perkembangan dalam Pas, Abdul Hadi berkata Pas tidak
memerlukan golongan opportunis yang mengambil kesempatan terhadap
perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan parti itu.



"Kita menangani masalah berdasarkan konsep bahawa perkara dasar seperti
Pas nak lari daripada Islam, menjadi sekular, kita tidak berganjak.






"Tetapi perkara-perkara cabang, kita akan bermesyurat, kita terima keputusan mesyuarat dan kita tidak berpecah.



"Kalau ada yang tidak terima keputusan itu, keluarlah ia dari Pas," katanya. - Bernama