ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Tiga ikon dalam Pas yang sering menghiasi
pentas ceramah parti itu kini berada dalam dilema, gara-gara didakwa
mengkritik pimpinan parti itu sehingga menjadi viral di laman sosial.
Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik Pemuda Pas Pusat, Sulaiman Ibrahim
atau lebih dikenali Leman Raja Lawak; Ahli Jawatankuasa Muslimat Pas
Pusat, Wan Aishah Wan Ariffin serta Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Sungai
Petani, Mejar Zaidi Ahmad didakwa mengkritik beberapa pemimpin parti
melalui aplikasi WhatsApp berhubung kepimpinan dalam Pas.
Rentetan itu, beberapa ahli parti mencadangkan supaya mereka dipecat keahliannya kerana terlalu lantang menyuarakan pandangan.
Leman Raja Lawak ketika dihubungi bagaimanapun berkata, beliau reda
dengan apa jua keputusan parti sekiranya perlu mengambil tindakan
berhubung perkara itu.
“Apabila menyuarakan pendapat supaya ustaz dalam Pas jangan terlalu
ekstrem dan perlu membuat pendekatan kepada bukan Islam selain jangan
kecewakan harapan anak-anak muda yang mengundi parti, didesaknya pula
kami dipecat,” katanya.
Mengulas mengenai perbualan terbabit, Leman antaranya membangkitkan isu
rakyat yang mempersoalkan pimpinan mengenai tanggungjawab sebagai
pemimpin Islam yang sepatutnya bergaul dengan bukan Islam kerana ia
termasuk dalam konsep peradaban Islam dan siasah politik.
“Ada sesetengah golongan ustaz dalam Pas yang dipilih menjadi pemimpin
gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin Islam. Mereka bukan
hanya memberi kuliah Subuh atau Maghrib tetapi perlu peka semua aspek
termasuk isu akar umbi hingga peringkat nasional,” katanya.
Menurutnya, kelemahan golongan itu yang diangkat menjadi pemimpin hanya
dengan memberi ceramah agama dan pandai bercakap tetapi langsung tidak
menjiwai rakyat bawahan yang daif dengan permasalahan ekonomi.
“Ada sesetengah ahli mengkritik jemaah sendiri bagi mendapatkan
jawatan, sedangkan dalam Islam harus memberikan idea dan hala tuju masa
depan parti apabila dipilih sebagai ketua. Ada pemimpin hanya
menggunakan Islam dan agama demi kepentingan peribadi,” katanya.
Leman berkata, selepas kenyataan itu diviralkan dalam WhatsApp, ada
golongan yang menyarankan agar beliau dipecat daripada parti.
Sementara itu, Wan Aishah turut melahirkan rasa kecewa di laman
Facebook dan menegaskan kenyataan itu bukan sebahagian daripada
ucapannya di mana-mana program.
“Ia sebahagian dari perbualan dalam grup WhatsApp yang diviralkan.
Seingat saya, ketika itu kami sedang berbincang tentang definisi ulama,
saya juga ditanya kenapa sertai Pas. Macam-macam isu dibincangkan secara
baik,” katanya.
Menurutnya, beliau memberikan pandangan dan jawapan secara ikhlas
termasuk mengenai pergolakan Pas sekarang namun, kesal kerana
perbincangan yang dianggap tertutup itu tersebar dan dijadikan isu.
“Kalau rasa nak kecam, kecamlah. Nak pecat sama sekali pun
terpulanglah. Saya tidak bimbang, sekadar mahu perbetulkan persepsi yang
saya dianggap mengkritik kepimpinan secara terbuka,” katanya.
Wan Aishah turut mempersoalkan apakah kepimpinan dalam parti tidak
boleh dikritik, tambahan pula pandangan itu disuarakan secara santai
melalui laman sosial.
“Komen yang saya berikan hanyalah dalam grup WhatsApp sahaja. Takkan
pula dalam laman sosial pun tak boleh menyatakan pendirian secara
peribadi?” katanya yang secara spontan teringatkan bekas Mursyidul Am
Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sambil berkias, ‘things are not the
same without him’.
No comments:
Post a Comment