Thursday, 21 May 2015

Mahfuz: Kerajaan harus belajar kawal perancangan




Mahfuz Omar Mahfuz Omar







KUALA LUMPUR - "Bagi saya ini soal pengawasan. Bagaimana harus kerajaan
mengawal bahawa apa yang dirancang itu bakal dilaksanakan?" soal Ahli
Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.



Katanya, sebelum pembentangan Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11)
dilakukan, kerajaan sepatutnya merangka usaha yang boleh mengawal
pelaksanaan perancangan tersebut.




Mahfuz yang juga merupakan Ketua Penerangan Pas, ia bagi mengelakkan
berlakunya ketirisan; sekaligus memastikan perancangan yang dilakukan
kerajaan dilaksanakan dengan telus.



"Kita ambil contoh 1Malaysia Developement Berhad (1MDB). Badan 1MDB ini
tidak pernah ada dalam RMK sebelum ini. Selepas RMK10 diumumkan, 1MDB
pula muncul.



"Kemunculan 1MDB yang tidak disangka ini pula telah menyebabkan negara
kehilangan RM42 bilion," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya
pembentangan RMK11 di Dewan Rakyat hari ini.



Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan pelaksanaan perancangan yang dilakukan kerajaan.



"Isunya bukan soal rancangan pembentangan yang dibuat. Isunya adalah
bagaimana pelaksanaan yang akan dilakukan oleh kerajaan nanti.



"Ini persoalan yang sering berbangkit dan kerajaan sudah membuktikan
sendiri bahawa wujud ketirisan dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. Ia
akan menyebabkan kerugian yang akan ditanggung negara (setiap kali
pelaksanaan rancangan dibuat)," katanya lagi.




Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, sudah
menjadi kebiasaan bagi pihak kerajaan untuk menumpukan perancangan dalam
jangka masa lima tahun akan datang berbanding melihat kegagalan lima
tahun lepas.



Menurutnya, sebelum melaksanakan RMK11, kerajaan sepatutnya menumpukan
usaha untuk menjayakan sasaran yang gagal dipenuhi pada RMK10.



"Ia akan menjadi satu masalah apabila kerajaan terlalu berusaha
memenuhi sasaran RMK11 berbanding memenuhi sasaran RMK10," katanya
ketika ditemui pemberita.



Ujar Rafizi lagi, beliau sebaliknya lebih berminat untuk mengetahui
bagaimana RMK11 dilaksanakan memandangkan kerajaan dikatakan tidak
mempunyai peruntukan mencukupi untuk melaksanakan apa yang dijanjikan.



"Saya sebaliknya lebih tertarik untuk melihat bagaimana kerajaan penuhi
perancangan ini dalam keadaan kerajaan tidak mempunyai wang dan tidak
lagi boleh berhutang," katanya lagi.




No comments:

Post a Comment