KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar menasihatkan
semua pihak agar tidak mudah mempercayai khabar angin mengenai usaha
untuk mewujudkan kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno.



Beliau menegaskan perkara itu hanyalah fitnah semata-mata yang tidak
berkesudahan dan sering diuar-uarkan oleh bekas Timbalan Presiden Pas,
Nasharuddin Mat Isa.



"Saya ingin menegaskan Pas konsisten dengan ketetapan bersama PR sepertimana yang telah diputuskan dalam Muktamar Pas.



"Bahkan Majlis Syura Ulama Pas turut membuat penafian kononnya Majlis
Syura Ulama dan ahlinya ada yang berusaha untuk membentuk kerajaan
perpaduan antara Pas dan Umno," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada kenyataan Penasihat
DAP, Lim Kit Siang semalam yang mendakwa kerjasama politik dalam PR
hanya boleh bertahan dalam tempoh dua minggu akan datang.



Mengulas lanjut, Mahfuz juga berkata, usaha pelaksanaan Enakmen Kanun
Jenayah Syariah di Kelantan adalah hak demokrasi Pas selepas diberi
amanah untuk mentadbir Kelantan sejak 1990.



"Bukankah DAP sebagai parti yang mengaku pejuang demokrasi tulen?
Sepatutnya DAP menghormati hak dan suara pihak lain yang secara sah
mendapat mandat majoriti dalam sidang Dun Kelantan.



"Pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Kelantan hanya akan dapat
dilaksanakan apabila Parlimen memberi kelulusan," ujarnya.



Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Pas
boleh menerima apa juga keputusan yang dibuat berhubung hasrat Pas untuk
membawa cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah.



"Pas tiada halangan sekiranya DAP mahupun Umno menolak Rang
Undang-undang Persendirian Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) yang dibawa
oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang.






"Pas akan akur dengan apa jua keputusan yang dibuat di Parlimen sama
ada menerima mahupun menolak cadangan pindaan akta tersebut," katanya
lagi.



Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mohd
Khairuddin Aman Razali turut mengingatkan DAP supaya menghormati
pendirian rakan-rakan lain dalam PR.



Beliau menegaskan sikap tidak menghormati DAP pada masa ini telah
memberi ruang kepada Umno untuk meretakkan kerjasama politik PR dan
memburukkan keadaan.



"DAP jangan bagi peluru kepada Umno, jangan bagi jangka hayat panjang
kepada Umno, kita pimpinan ulama berkali-kali mengingatkannya.



"Bila berlaku isu dalaman, kita (perlu) berbincang secara dalaman...bukan ditembak keluar. Itu sikap kita," katanya lagi.