Thursday, 21 May 2015

Myanmar sedia beri kerjasama selesai konflik



SINAR HARIAN







Anifah Aman Anifah Aman









KUALA LUMPUR - Myanmar sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada
Malaysia, selaku Pengerusi Asean dalam menyelesaikan konflik di negeri
Rakhine di negara itu serta krisis kemanusiaan melibatkan pendatang
asing tanpa izin di Teluk Bengal dan Laut Andaman.



Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Menteri Luar Myanmar, U
Wunna Maung Lwin telah memaklumkan bahawa kerajaannya sentiasa mengambil
berat mengenai perkembangan di negeri Rakhine malah Naib Presidennya U
Nyan Tun telah mengadakan lawatan ke wilayah itu baru-baru ini.



"Kerajaan Myanmar akan terus menghulur bantuan dan melaksanakan program
pembangunan ekonomi dan sosial di wilayah itu," katanya dalam satu
kenyataan di sini, hari ini.



Anifah hadir pada mesyuarat dua hala bersama Menteri Luar Myanmar di
Nay Pyi Taw, Myanmar hari ini bagi membincangkan pelbagai langkah yang
perlu diambil dalam menangani krisis kemanusiaan yang semakin kritikal
itu.



Anifah berkata beliau juga telah meminta jaminan daripada kerajaan
Myanmar untuk membantu dalam menangani krisis itu di samping menekankan
kepentingan negara itu untuk mengenal pasti dan menyelesaikan punca
utama masalah berkenaan.



Anifah berkata negara-negara Asean perlu bersepakat memainkan peranan
utama dalam menangani krisis itu yang telah mendapat perhatian serta
liputan meluas oleh masyarakat antarabangsa.



"Yang lebih utama dan paling mendesak yang perlu dilaksanakan pada
waktu ini adalah bagi Malaysia serta negara-negara lain, khususnya
Indonesia, Thailand dan terutamanya Myanmar untuk mencari jalan dan kata
sepakat bagi membantu 7,000 orang pendatang asing yang dimaksudkan.





"Kita tidak boleh berdiam diri, dengan membiarkan mereka terus menderita," katanya.





Beliau turut menekankan bahawa masyarakat antarabangsa perlu memikul
beban dan tanggungjawab dalam hal ini dengan menghulur bantuan-bantuan
yang sewajarnya, khususnya bantuan kewangan kepada Indonesia dan
Malaysia.



Baru-baru ini media melaporkan lebih 7,000 orang pendatang asing tanpa
izin dari Myanmar dan Bangladesh cuba menyusup masuk ke beberapa negara
Asean melalui jalan laut. - Bernama


No comments:

Post a Comment