Thursday, 21 May 2015

PM ‘dera’ emosi umat Islam







Oleh ROY RASUL





SATU-SATUNYA institusi kewangan yang menjadi kebanggaan umat Islam negara ini tidak lain
tidak bukan adalah Tabung Haji.Berdiri megah di kawasan segi tiga
emas, menaranya yang terletak di Jalan Tun Razak cukup indah dipandang.




Pastinya sejuk mata setiap umat Islam yang lalu-lalang di hadapan
Menara Tabung Haji atau TH yang mempunyai ketinggian 152 meter itu
tertera pula perkataan Allah dan Muhammad di puncak menaranya.



Tabung Haji yang sudah tidak asing lagi bagi umat Islam negara ini
banyak membantu umat Islam negara ini baik di desa mahupun di kota untuk
mengerjakan rukun Islam kelima.



Realitinya Tabung Haji, berperanan menguruskan perjalanan jemaah haji ke tanah suci Makkah pada setiap tahun.




Antara tujuan utama Tabung Haji ditubuhkan untuk membolehkan
orang-orang Islam menyimpan secara beransur-ansur bagi memenuhi
perbelanjaan menunaikan fardu haji atau lainlain perbelanjaan bermanfaat
secara halal.



Justeru, tidak pelik dengan penuh kepercayaan
hampir setiap orang Islam menabung dalam Tabung Haji dengan niat yang
satu, menunaikan haji.



Kata pepatah Melayu, sikit-sikit lama-lama menjadi bukit.




Ini kerana Tabung Haji premis yang paling selamat untuk disimpankan
duit mereka sekalipun kemampuannya hanya RM20 sebulan termasuk penoreh
getah nun jauh di pedalaman Baling, Kedah.



Namun dalam membilang
hari untuk menjejak kaki ke tanah suci itu, tiba-tiba seluruh pendeposit
Tabung Haji termasuk ‘pak cik’ dan ‘mak cik’ di kampung bagai disentap
apabila tersebarnya berita pembelian tanah Tun Razak Exchange (TRX)
milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Tabung Haji awal Mei
lalu.



Sekalipun mungkin ada di kalangan penabung buta tentang apa
itu 1MDB, mereka tetap hamburkan kemarahan, apa yang dilakukan Tabung
Haji.



“Harapan rakyat Malaysia akan musnah untuk melihat
institusi kewangan yang membolehkan mereka menunaikan Rukun Islam ke-5
berdiri teguh ,jika pembelian tanah 1MDB diteruskan oleh Tabung Haji,”
ulas Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Pengguna PAS Pusat, Normala Sudirman
kepada Harakah, 12 Mei lalu.



Beliau sendiri sebagai pencarum dan
pengguna perkhidmatan Tabung Haji, berasa kecewa apabila satu badan yang
diamanahkan menjaga dan menguruskan kewangan untuk mengerjakan haji
seolah-olah digunakan sebagai bailout kepada 1MDB.



Dakwanya kos
pembelian tanah lebih kurang RM4 juta sedangkan dijual kepada Tabung
Haji harganya mencecah 188.5 juta untuk tanah seluas 1.56 hektar.



Isu 1MDB yang bermasalah katanya, bermain di fikiran rakyat dan pembelian tanah itu tidak masuk akal.




“Kami menegur ini kerana sayangkan Tabung Haji. Pencarum kebanyakannya
penoreh getah petani, nelayan dan orang susah tetapi kesungguhan untuk
menunaikan Rukun Islam yang kelima sangat tinggi menyebabkan mereka
kecewa bila mendengar khabar ini.



“Ini bukan soal kecil. Ini melibatkan kepentingan institusi yang menjaga kebajikan umat Islam,” katanya.



Baginya sebagai pengguna perkhidmatan Tabung Haji, rakyat berhak bersuara menegur dan menyatakan pandangan.




Tambahan pula, hampir seluruh umat Islam di Malaysia dari usia kecil
hingga dewasa digalakkan menabung dalam institusi ini tetapi pintanya
jangan dikhianati kepercayaan rakyat.



Apa lagi Tabung Haji cukup
dekat di hati umat Islam. Katanya, sama ada sedikit atau banyak mereka
tetap menyenaraikan nama sebagai pencarum Tabung Haji.



Oleh itu,
pihak bertanggungjawab perlu menyelamatkan kesucian institusi kewangan
umat Islam daripada dicemari tangan-tangan pembuat keputusan tersebut.




Malah keputusan menjual semula tanah berkeluasan 0.63 hektar di Pusat
Kewangan Tun TRX dengan jangkaan keuntungan hampir tiga kali ganda
sebagaimana dikatakan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk
Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak untuk menghormati sensitiviti
orang ramai terutama pencarum masih dipertikaikan semua pihak.



Media baharu main peranan hangatkan isu



Lebih-lebih lagi kritikan masyarakat yang prihatin terhadap pembelian tersebut sudah menjadi viral di media baru.




Menurut Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa rakyat Malaysia kecewa
dengan penjelasan Lembaga Tabung Haji yang disifatkan hanya satu
pengesahan melaksanakan ‘tugas suci’ membayar RM188.5 juta kepada 1MDB.




Memetik laporan astroawani.com, 10 Mei lalu Husam berkata “Tidak ada
pembatalan transaksi, tidak ada kekesalan dan permohonan maaf.




“Bahkan tidak ada penjelasan kenapa bayaran penuh dilunaskan pada masa
perjanjian jual beli itu dimeterai dan bayaran yang begitu tinggi
diluluskan.



“Juga isu lain yang terdapat dalam dokumen yang dibocorkan,” katanya dipetik.




Bahkan bidasnya, penjelasan Pengerusi Tabung Haji, Dato’ Seri Abdul
Azeez Abdul Rahim berhubung perkara itu hanya menambah luka di hati
rakyat.



Atas pembongkaran blog The Benchmark itu juga mantan
perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut bersuara supaya Tabung
Haji batalkan pembelian tanah tersebut serta-merta.



Penegasan
Mahathir, wang pencarum yang digunakan bukan kepunyaan Tabung Haji.
Tidak tutup dengan suara Mahathir bahkan banyak pihak menyuarakan
kebimbangan.



Sebagaimana dilaporkan media, Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong kenyataan Pemuda Umno yang
mahukan Kementerian Kewangan dan Tabung Haji memberi penjelasan
berhubung pembelian tanah tersebut daripada 1MDB.



Menteri Besar Kedah, Dato’ Mukhriz Mahathir juga mempertikaikan pembelian hartanah milik 1MDB itu terlalu mahal.




Selain itu, Ahli Majlis Tertingi Umno, Dato’ Tajuddin Abdul Rahman juga
dilaporkan menyatakan kebimbangan terhadap kontroversi 1MDB dan isu
pembelian tanah syarikat itu oleh Tabung Haji.



Itu belum lagi di
pihak orang perseorangan, parti lawan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO),
bukan sahaja buat laporan polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia
bahkan ada yang bertindak mengeluarkan wang simpanan.



Tindakan itu sebagai bantahan keras mereka terhadap Tabung Haji.




Presiden ABIM, Amidi Abdul Manan berkata, satu laporan terhadap Tabung
Haji, 1MDB dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi
menyiasat segala bentuk urus niaga yang dibuat oleh 1MDB dan TH.




“Kami mahu kembalikan Tabung Haji ke landasan sebenar di mana
kepercayaan terhadapnya dijaga dengan baik,” katanya kepada pemberita di
ibu pejabat Tabung Haji, 12 Mei lalu.



PAS juga tidak terkecuali mengetuai para pencarum membuat laporan polis di atas pembelian kontroversi oleh Tabung Haji itu.




Ini dapat disaksikan pada 14 Mei lalu, apabila PAS Perak mengiringi
para pencarum di setiap daerah membuat laporan polis Manakala Parti
KeADILan Rakyat yang diketuai Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Nik
Nazmi Ahmad dengan memfailkan laporan tersebut di Balai Polis Dang
Wangi, Kuala Lumpur baru-baru ini.



Jelas kebangkitan umat Islam
tidak kira secara diam atau terus menghantar bantahan kepada pihak
berkuasa menggambarkan betapa kecewanya mereka.



Kekecewaan itu diterjemahkan dalam bantahan yang bersungguhsungguh oleh rakyat yang sayangkan Tabung Haji.


No comments:

Post a Comment