KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dipercayai diculik
lelaki yang tidak dikenali dalam kejadian di Masjid Muhammadi di sini,
Jumaat lalu.‎



Mangsa, Aiman Kamarolzaman yang pada awalnya dibawa ke masjid oleh
bapanya, Kamaruzamman Mohamad, 50, diculik lelaki terbabit ketika sedang
memakai selipar selepas solat Isyak di masjid terbabit.



Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Aiman mendakwa dia dibawa ke
satu lokasi dan kemudiannya dipaksa meminta sedekah di sebuah pasaraya
di bandar ini kelmarin.



Mangsa yang meminta sedekah dalam keadaan terpaksa kemudiannya
diselamatkan oleh seorang lelaki selepas melihat keadaan mangsa yang
menangis dan mencurigakan dan telah menyerahkan kanak-kanak itu kepada
bapanya petang kelmarin.



Aiman berkata, selepas diculik dia ditempatkan di sebuah rumah bersama beberapa kanak-kanak lain.



Menceritakan kejadian, mangsa berkata, sehari selepas dilarikan dia
dibawa oleh lelaki itu ke sebuah pasaraya dan diminta meminta sedekah
bersama seorang kanak-kanak lelaki lain daripada orang ramai.



"Dia (Ielaki itu) sempat mengugut saya supaya tidak melarikan diri.



"Mujurlah, ketika itu ada seorang lelaki membantu saya dan membawa saya
ke kedai ayah," katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.



Sementara itu, bapa mangsa Kamarolzaman Mohamad, 50, berkata, sejurus
menyedari anaknya hilang, dia cuba mencari di kawasan sekitar dan
kemudian membuat laporan polis.



"Pada malam kejadian, saya tidak lena tidur kerana bimbang dengan keselamatannya," katanya.



Kamarolzaman amat bersyukur, anaknya itu berjaya ditemui selamat.



"Saya akui ini akan menjadi pengajaran berguna kepada saya untuk menjaga anak dengan lebih baik," katanya.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan menerima laporan kejadian.



“Kes disiasat di bawah Sekyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.